Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan pagi ini bercampur-campur dengan indeks penanda aras susut sebanyak 0.07 peratus berikutan kegiatan jualan ke atas saham wajaran tinggi terpilih.

-Advertisement-

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.07 mata kepada 1,490.13 daripada penutupan urus niaga Khamis pada 1,491.20.

Indeks utama itu dibuka 0.03 mata lebih rendah untuk mencatatkan paras 1,491.17.

Bagaimanapun, di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 250 berbanding 102, manakala 246 kaunter tidak berubah, 1,689 tidak diniagakan dan 54 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 261.88 juta unit bernilai RM109.38 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, FBM KLCI bergerak tinggi seiring dengan rakan serantaunya, mengambil petunjuk daripada keuntungan kukuh di Wall Street.

“Kami percaya secara naratifnya langkah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) untuk memperlahankan rentak kenaikan kadar faedah akan terus memberi isyarat positif kepada bursa serantau dan tempatan walaupun terdapat penguncupan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS.

“Sementara itu, keputusan Indonesia untuk menarik balik sekatan kemasukan pekerjanya ke Malaysia mulai 1 Ogos 2022 seharusnya memberi manfaat kepada sektor pembuatan dan perladangan di Malaysia,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Bagi komoditi, firma itu menambah harga minyak mentah meningkat melebihi paras AS$107 setong, manakala harga minyak sawit mentah meningkat melepasi paras RM4,000 satu tan.

-Advertisement-

Ia berkata, sektor teknologi sepatutnya terus menunjukkan arah aliran yang lebih tinggi sejajar dengan kenaikan semalaman di Nasdaq, disokong oleh keputusan kewangan yang kukuh daripada Unisem (M) Bhd, Frontken Corporation Bhd dan Vitrox Corp Bhd.

Sektor tenaga juga dijangka terus menyerlah di tengah-tengah harga minyak mentah yang kian meningkat, tambah Malacca Securities.

Sementara itu, saham wajaran tinggi Bursa, Maybank dan CIMB Group masing-masing susut dua sen kepada RM8.83 dan RM5.26, Petronas Chemicals kerugian 11 sen untuk mencatatkan RM8.80, manakala Public Bank dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM4.64 dan RM6.39.

Dalam kalangan saham aktif, CSH Alliance naik satu sen kepada 10 sen, Parkson Holdings meningkat 1.5 sen menjadi 18.5 sen dan LGMS menambah 7.5 sen kepada 87.5 sen, manakala MQ Technology dan Velesto Energy tidak berubah, masing-masing pada 3.5 sen dan 8.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meraih 11.51 mata kepada 10,590.16, Indeks FBM Emas Syariah memperoleh 23.04 mata kepada 10,704.07 manakala Indeks FBMT 100 menokok 6.90 mata kepada 10,340.30.

Indeks FBM ACE pula mengembang 23.48 mata kepada 4,855.97 dan FBM 70 meningkat 66.14 mata kepada 12,750.83.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan mengukuh 20.33 mata untuk mencapai 6,960.59, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.05 mata kepada 183.71 dan Indeks Tenaga meningkat 3.94 mata kepada 670.55, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 13.31 mata kepada 16,650.09.

-BERNAMA -BH