Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Dagangan di Bursa Malaysia mencatatkan sedikit peningkatan ketika dibuka untuk urus niaga pagi Jumaat, seiring dengan bursa serantau lain yang mengambil petunjuk daripada kerancakan pergerakan semalaman di Wall Street.

-Advertisement-

Peniaga berkata kegiatan membeli kebanyakannya dilihat membabitkan saham bermodal kecil.

Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.38 mata kepada 1,562.67 berbanding 1,561.29 pada penutupan petang Khamis.

Indeks utama dibuka 0.86 mata lebih tinggi pada 1,562.15.

Pergerakan harga di keseluruhan pasaran menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi dengan 244 berbalas 151 manakala 266 kaunter tidak berubah, 1,608 tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 219.2 juta unit bernilai RM138.04 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata FBM KLCI mungkin terus menjejaki sentimen positif di Wall Street memandangkan kebimbangan mengenai siling hutang Amerika Syarikat telah semakin berkurangan selain terdapat perbincangan untuk membuka kembali sempadan antara negeri.

Ia menambah sektor tenaga mungkin kekal menarik bagi para pelabur dengan pengukuhan harga minyak mentah yang diniagakan melepasi paras AS$81 setong; sementara sektor tema pemulihan seperti penerbangan dan pengguna juga semakin baik di bawah senario pemulihan.

“Selain itu, kami percaya peniaga mungkin akan meninjau sektor yang dijangka mendapat manfaat daripada Bajet 2022 yang akan dibentangkan pada akhir bulan ini,” tambahnya.

-Advertisement-

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Petronas Chemicals naik 12 sen kepada RM8.80, CIMB meningkat dua sen kepada RM4.88, sementara Maybank tidak berubah pada RM8.05.

Public Bank susut dua sen kepada RM4.06, sementara IHH dan Tenaga masing-masing turun satu sen kepada RM6.62 dan RM9.72.

Bagi saham aktif, Opcom naik lapan sen kepada RM1.54 – menjadikannya saham paling aktif diniagakan pada waktu pembukaan, sementara SC Estate tidak berubah pada 16.5 sen, AirAsia meningkat empat sen kepada RM1.18, Sapura Energy menambah satu sen kepada 10.5 sen dan Bumi Armada naik 1.5 sen kepada 48.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 20.45 mata pada 11,493.67, Indeks FBM Emas Syariah naik 30.06 mata kepada 12,638.25, FBM 70 mengembang 49.87 mata kepada 15,074.72, dan Indeks FBMT 100 lebih tinggi sebanyak 16.78 mata kepada 11,147.7.

Bagaimanapun, FBM ACE jatuh 15.4 mata kepada 7,121.7.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.81 mata kepada 209.46, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 9.81 mata kepada 15,209.15, sementara Indeks Perladangan turun 8.32 mata untuk 6,952.57.

– Bernama -BH