Bursa Malaysia dibuka rendah, pelabur tunggu PRU15

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR. 15 Nov 2022 (The Capital Post): Bursa Malaysia meneruskan aliran menurun untuk dibuka rendah pada pagi urus niaga Selasa apabila peserta pasaran mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata seorang penganalisis.

-Advertisement-

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.55 mata kepada 1,459.45 daripada 1,464.00 penutup Isnin.

Indeks utama itu memulakan urus niaga 2.49 mata lebih rendah pada paras 1,461.51.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 145 berbalas 102, manakala 198 kaunter tidak berubah, 1,880 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 117.48 juta unit bernilai RM41.36 juta.

Dalam satu nota, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengulangi FBM KLCI dijangka mengekalkan keuntungan yang diraih baru-baru ini selepas bergerak naik daripada paras terendah dua tahun iaitu 1,373 menjelang hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November.

“Halangan sengit adalah pada 1,482, 1,500, 1,508. Pecahan yang menentukan di bawah garis rintangan aliran menurun berhampiran 1,454 mungkin menolak indeks lebih rendah ke arah zon 1,424 hingga 1,436,” katanya.

Dengan mengambil pemuliharaan modal sebagai kunci utama, bank pelaburan itu berkata ia terus menyokong pelabur untuk mencari perlindungan dalam sektor perbankan, syarikat telekomunikasi, utiliti, pengguna, penjagaan kesihatan dan pembinaan, dengan menjangkakan kerajaan baharu selepas PRU15 akan terus menyokong penggunaan domestik.

-Advertisement-

Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, kedua-dua Maybank dan IHH Healthcare susut empat sen kepada RM8.55 dan RM5.95, Public Bank lemah satu sen menjadi RM4.37, Petronas Chemicals merosot tujuh sen kepada RM8.65 dan CIMB turun lima sen menjadi RM5.44.

Bagi saham aktif, MQ Technology turun setengah sen menjadi 3.5 sen, SYF Resources menokok 1.5 sen kepada 34.5 sen dan Top Glove Corporation menambah satu sen kepada RM1.03, manakala Advance Synergy dan Velesto Energy tidak berubah, masing-masing pada 14 sen dan 13.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah merosot 16.65 mata kepada 10,503.73, Indeks FBM Emas menyusut 25.58 mata kepada 10,369.59, Indeks FBMT 100 lemah 26.22 mata kepada 10,101.77 dan FBM 70 kerugian 10.92 mata kepada 12,354.55.

Bagaimanapun, FBM ACE memperoleh 13.80 mata kepada 5,023.83.c

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 53.93 mata kepada 16,234.99, Indeks Perladangan lebih rendah 1.06 mata menjadi 6,901.30, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.15 mata kepada 178.99 dan Indeks Tenaga berkurangan 5.50 mata kepada 726.25.

-BERNAMA -BH

(The Capital Post)


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5279