Bursa Malaysia dibuka rendah, sentimen lemah

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini, meneruskan aliran menurun minggu lepas apabila sentimen pasaran yang berhati-hati mempengaruhi selera risiko pelabur.

-Advertisement-

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.3 mata kepada 1,501.25 daripada 1,501.55 pada penutup Jumaat lalu.

Indeks utama itu memulakan urus niaga pagi ini 0.03 mata lebih rendah untuk mencatatkan paras 1,501.58.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 131 berbanding 112, manakala 189 kaunter tidak berubah, 1,826 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 104.09 juta unit bernilai RM34.27 juta.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng, sentimen pasaran masih diselubungi oleh prestasi semalaman yang bercampur-campur ketika Wall Street ditutup ekoran kebimbangan yang Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan menaikkan kadar faedah seterusnya susulan pengumuman data pekerjaan AS yang lebih kukuh daripada jangkaan pada Jumaat lalu.

Beliau berkata walaupun Purata Indeks Dow Jones meningkat sebanyak 77 mata, Nasdaq turun 63 mata apabila hasil 10 tahun AS melonjak kepada 2.83 peratus.

“Memandangkan ketidaktentuan terhadap ekonomi AS yang berlarutan, kami berpendapat sentimen akan lebih berhati-hati dan oleh itu menjangkakan indeks penanda aras berada dalam julat 1,490-1,505 hari ini,” katanya.

-Advertisement-

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank menokok satu sen kepada RM4.64, Petronas Chemicals naik lima sen kepada RM8.85, manakala Maybank, IHH Healthcare dan CIMB tidak berubah, masing-masing mencatatkan harga RM8.89, RM6.43 dan RM5.25.

Bagi saham aktif, Green Packet dan Unique Fire masing-masing meningkat satu sen kepada enam sen dan 23.5 sen, Zen Tech kekal pada 3.5 sen dan Dagang Nexchange menokok setengah sen kepada 88 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 1.04 mata kepada 10,658.41, Indeks FBMT 100 susut 1.35 mata menjadi 10,404.33, Indeks FBM Emas Syariah lebih rendah 8.8 mata kepada 10,821.2 dan FBM ACE lemah 32.15 menjadi 4,841.88.

Bagaimanapun, FBM 70 menambah 1.14 mata kepada 12,776.8.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan memperoleh 4.9 mata kepada 16,635.23, Indeks Tenaga meningkat 2.49 mata menjadi 655.52, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 0.3 mata kepada 183.68, dan Indeks Perladangan turun 0.13 mata kepada 7,125.14.

– Bernama -BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5279