Bursa Malaysia jatuh bawah 1,500 mata

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini, sejajar dengan bursa serantau berikutan kes COVID-19 yang meningkat menjejaskan sentimen.

-Advertisement-

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 5.66 mata kepada 1,494.6 daripada 1,500.26 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks dibuka rendah 2.98 mata kepada 1,497.28.

Suasana pasaran secara keseluruhannya negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 391 berbanding 63, manakala 201 kaunter tidak berubah, 1,537 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 231.23 juta unit bernilai RM96.51 juta.

Peniaga berkata, saham Asia merosot berikutan kebimbangan mengenai varian Delta yang lebih cepat merebak, menjejaskan harapan untuk pemulihan ekonomi.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata dua negeri dan Wilayah Persekutuan iaitu Perlis, Sarawak dan Labuan yang beralih kepada Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara bermula hari ini, selain musim pendapatan, dijangka meningkatkan sentimen pasaran.

Ia menjangka wujud minat belian di kaunter teknologi pada sesi ini.

-Advertisement-

“Kami menjangka peningkatan semula dalam sektor pembuatan solar dan plastik akan berterusan dalam tempoh terdekat.

“Petunjuk teknikal menjadi positif. Bagaimanapun, pelabur dijangka terus menjalankan perdagangan secara berhati-hati, dengan paras sokongan (bagi FBM KLCI) pada 1,480 manakala paras halangan pada 1,520 jika indeks utama kekal melebihi 1,500,” katanya dalam nota penyelidikan.

Daripada saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga, masing-masing berkurangan empat sen kepada RM8.01 dan RM9.69, Public Bank susut dua sen kepada RM3.98, IHH merosot lima sen kepada RM5.72, CIMB turun tiga sen kepada RM4.51 dan Petronas Chemicals tidak berubah pada RM8.06.

Dalam kalangan saham aktif, Advance naik 1.5 sen kepada 18 sen, Alam Maritim tidak berubah pada 6.5 sen, PUC susut satu sen kepada 17.5 sen manakala MAG naik setengah sen kepada 19 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 48.28 mata kepada 10,976.13, Indeks FBMT 100 berkurangan 46.85 mata kepada 10,689.99, FBM ACE jatuh 78.64 mata kepada 7,039.09, FBM 70 susut 88.48 mata kepada 14,564.31 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 48.86 mata kepada 12,055.42.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 54.85 mata kepada 14,736.81, Indeks Perladangan susut 14.25 mata kepada 6,073.84 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.76 mata kepada 187.8.

-BERNAMA -BH