Bursa Malaysia lonjak lepasi paras 1,450

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 27 Okt 2022 (The Capital Post): Indeks barometer Bursa Malaysia terus bergerak melepasi paras 1,450 apabila kebimbangan mengenai hala tuju kadar faedah yang lebih tinggi berkurangan di peringkat serantau.

-Advertisement-

Kenaikan itu juga di sebalik prestasi Wall Street yang bercampur-campur.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.13 mata untuk mencecah paras 1,457.11 berbanding dengan penutup Rabu pada 1,454.98.

Indeks utama itu dibuka 2.98 mata lebih tinggi pada 1,457.96.

Pergerakan harga di pasaran secara menyeluruh juga positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 176 berbalas 73, manakala 207 kaunter tidak berubah, 1,905 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 126 juta unit bernilai RM52.08 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata walaupun Wall Street ditutup bercampur-campur selepas dagangan tidak menentu di tengah-tengah keputusan suku tahunan yang kurang memberangsangkan daripada Microsoft dan Alphabet.

“Di pasaran domestik pula, FBM KLCI akhirnya mencecah paras 1,450 semalam, disokong minat belian daripada institusi tempatan. Kami mengunjurkan bursa tempatan akan meneruskan aliran menaik,” katanya.

Beliau menambah pasaran kemungkinan menguji paras 1,465 dengan minat belian dijangka kembali kepada saham perbankan, serta kaunter berkaitan minyak apabila penanda aras minyak mentah Brent meningkat melebihi AS$95 setong.

-Advertisement-

Sementara itu, saham wajaran tinggi Bursa – Telekom Malaysia menokok enam sen kepada RM5.56, manakala Dialog, MR D.I.Y, Axiata dan Maxis masing-masing naik dua sen kepada RM1.93, RM1.98, RM2.83 dan RM3.71.

Betamek yang baharu disenaraikan mendahului saham paling aktif, menambah 3.5 sen kepada 74.5 sen, diikuti oleh Impiana Hotels dan Green Packet, yang tidak berubah, masing-masing pada 2.5 sen dan 4.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 21.88 mata menjadi 10,319.42, FBM 70 menambah 29.06 mata kepada 12,205.36 dan Indeks FBMT 100 meraih 16.84 mata kepada 10,060.87.

Indeks FBM Emas Syariah turut meningkat 20.34 mata kepada 10,346.45, manakala FBM ACE mengembang 12.20 mata menjadi 4,881.24.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan pulih 36.93 mata kepada 16,529.71, Indeks Tenaga meningkat 9.79 mata menjadi 693.43, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.01 mata kepada 174.95 manakala Indeks Perladangan 12.43 mata lebih tinggi pada 6,953.92.

– Bernama -BH

(The Capital Post)