Bursa Malaysia mula dagangan lebih tinggi ketika pasaran lain suram

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan lebih tinggi hari ini walaupun prestasi kebanyakan pasaran serantau suram, di tengah-tengah isyarat bercampur-campur di Wall Street dalam tempoh semalaman berikutan sentimen keseluruhan yang kekal berhati-hati, kata penganalisis.

-Advertisement-

Pada 9.21 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.6 mata kepada 1,535.6 daripada 1,535.0 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran dibuka menokok 0.05 mata kepada 1,535.05.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 308 berbanding 155, manakala 326 kaunter tidak berubah, 1,563 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 408.31 juta unit bernilai RM181.07 juta.

Kebanyakan saham Asia dilaporkan merosot berikutan kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), Jerome Powell yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata, Wall Street bercampur-campur dalam tempoh semalaman di tengah-tengah situasi yang tidak menentu berikutan peniaga berusaha mengimbangi naratif mengenai kadar faedah selain ketegangan di Asia Barat.

Oleh itu, Purata Perindustrian Dow Jones meraih 64 mata, manakala Nasdaq Composite susut 20 mata berikutan hasil 10 tahun AS meningkat kepada 4.669 peratus.

“Di dalam negara, FBM KLCI menyaksikan lebih banyak jualan saham mewah, kemungkinan oleh dana asing apabila indeks menyusut di bawah paras 1,540. Jualan juga adalah menyeluruh.

“Kami yakin jualan semalam adalah lebih kepada reaksi spontan terhadap ketegangan yang semakin meningkat di Asia Barat di tengah-tengah pergerakan dana ke kelas aset lain,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, Pak Leng yakin aktiviti belian semasa harga rendah akan berlaku dalam masa terdekat dan menjangkakan indeks akan bergerak dalam jajaran 1,530 hingga 1,540 hari ini.

-Advertisement-

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah satu sen kepada RM9.59 manakala Public Bank dan CIMB masing-masing naik dua sen kepada RM4.12 dan RM6.50.

Sementara itu, Tenaga Nasional menyusut empat sen kepada RM11.44 dan Petronas Chemicals tidak berubah pada RM6.80.

Bagi saham aktif, Ingenieur Gudang, Alpha IVF dan MMAG Holdings masing-masing meningkat setengah sen kepada 15 sen, 34 sen dan 20 sen.

Bagaimanapun, Sapura Energy berkurangan setengah sen kepada 4.5 sen dan MRCB tidak berubah pada 65.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meraih 9.24 mata kepada 11,524.25, Indeks FBMT 100 meningkat 7.61 mata kepada 11,176.59, Indeks FBM 70 naik 24.24 mata kepada 16,021.04, Indeks ACE FBM menokok 35.64 mata kepada 4,917.58, dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 0.33 mata kepada 11,696.76.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.23 mata kepada 182.31 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 24.53 mata kepada 17,033.48.

Sementara itu, Indeks Perladangan berkurangan 12.87 mata kepada 7,386.37 dan Indeks Tenaga susut 3.37 mata kepada 946.57.

-BERNAMA

-BeritaHarian