Carsome nafi minta dana Kementerian Kewangan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Platform e-dagang kereta berpangkalan di Malaysia, Carsome Group menafikan bahawa ia meminta pendanaan daripada Kementerian Kewangan dan menegaskan bahawa kedudukan tunainya masih kukuh melebihi AS$150 juta (RM690 juta).

-Advertisement-

Carsome menjelaskan bahawa ia menghantar surat pada 27 Mac lalu sebagai respon kepada sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan bagi menggalakkan penyertaan pelabur institusi tempatan dalam perjalanan pertumbuhannya.

Syarikat itu berkata, ia sentiasa mengadakan perbincangan bersama pelbagai pihak berkepentingan mengenai usaha membina ekosistem dan meningkatkan hubungan institusi.

Sebagai sebahagian daripada libat urus rutin terbabit, Carsome berkata ia sentiasa memperjuangkan pertumbuhan ekosistem syarikat pemula tempatan yang boleh menyumbang ke arah ekonomi dan meningkatkan jumlah bakat digital negara ini.

“Perlu dinyatakan bahawa kedudukan kecairan Carsome kekal mantap melebihi AS$150 juta, menyediakan ruang yang mencukupi untuk syarikat ini melangkaui titik pulangan modal, yang dijangka akan dicapai jauh di hadapan sasaran tarikh akhirnya,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Carsome berkata, ia adalah antara syarikat pemula serantau pertama yang komited terhadap pelan keuntungan dipercepatkan bagi membolehkannya bersedia menghadapi lebih banyak gangguan dan cabaran dalam pasaran pendanaan.

“Pendekatan ini telah membuahkan hasil, diterjemahkan kepada keuntungan operasi sebagai sebuah syarikat. Ini membolehkan Carsome melepasi sasaran dalaman bagi pertumbuhan margin kasar dan peningkatan produktiviti setakat suku pertama 2023,” katanya.

-Advertisement-

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Carsome, Eric Cheng, berkata dalam pada syarikat itu berdepan dengan industri yang pantas berubah, ia melaksanakan langkah penyesuaian dan kekal berdaya tahan.

“Menerusi komitmen kami terhadap kecemerlangan operasi dan pendekatan tertumpu pelanggan, kami bersyukur kerana berjaya mengatasi jangkaan, mencapai pertumbuhan memberangsangkan sambil terus mencatatkan keuntungan.

“Kami berterima kasih di atas sokongan kerajaan terhadap jenama tempatan seperti kami dalam pada syarikat ini berkembang ke peringkat serantau,” katanya.

Carsome berkata, pendapatannya meningkat 250 peratus pada 2022, dengan bahagian peruncitan yang baru ditubuhkan, Carsome Certified menyumbang 35 peratus daripadanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373