De Gea minta maaf

Estimate Reading Time: < 1 minute

NEWCASTLE: Penjaga gol, David de Gea memohon maaf kepada peminat Manchester United susulan kekalahan 1-0 skuad bermasalah Red Devils kepada Newcastle dalam saingan Liga Perdana, awal pagi tadi.

-Advertisement-

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer hanya dibezakan dengan dua mata daripada zon penyingkiran dan tidak pernah menang sejak Mac lalu apabila dikecewakan jaringan Matty Longstaff pada babak kedua yang menghadiahkan kemenangan kepada Newcastle.

De Gea mengakui ia adalah masa yang paling sukar pernah dilaluinya sejak berpindah ke Old Trafford pada 2011 dan pemain dari Sepanyol itu kehilangan kata-kata ketika diminta mengulas mengenai punca prestasi terburuk United di awal musim sejak kempen 1989.

“Ya, ia mungkin masa yang paling sukar sejak saya berada di sini,” kata De Gea. “Saya tidak tahu. Saya tidak tahu apa yang berlaku, kami tidak dapat menjaringkan satu gol dalam dua perlawanan.

“Sukar untuk bercakap sesuatu, minta maaf kepada peminat, sudah tentu kami akan terus berjuang. Kami akan kembali bangkit tetapi pada ketika ini kami berada dalam situasi yang sukar.

-Advertisement-

“Secara keseluruhan musim yang tidak begitu bagus, jadi kami perlu teruskan, terus berusaha dan lihat apa yang berlaku pada perlawanan berikutnya.”

Bekas pertahanan United, Gary Neville menyalahkan polisi pasukan itu ketika jendela perpindahan sebagai punca prestasi longlai kelab itu ketika ini.

“Di gelanggang lawan, mereka tidak pernah mencipta kemenangan dari sudut mental. Mereka membiarkan permainan mereka hanyut. Saya fikir pemain OK, tetapi mereka tidak cukup kejam, tidak klinikal,” kata Neville.

“Kualitinya tidak ada, kekuatan skuad ini tidak cukup bagus dan mereka mengambil jalan ke belakang. Pembelian yang mereka lakukan adalah buruk dan mengecewakan. Mereka memerlukan lima atau enam pemain terbaik di dalam skuad, dan ia pasti amat mahal.” – BHarian