PUTRAJAYA 31 Julai 2026, (The Capital Post) – Dua pegawai Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Aiman Mohd Anuar dan Nur Nadhirah Zunaidi, telah dilantik sebagai #RakanKPT bagi sesi 2026/2027 dalam Bengkel Pemantapan #RakanKPT Siri 1 Tahun 2026 yang berlangsung di Putrajaya.
Kedua-dua pegawai dari Pusat Pertanian Putra itu merupakan antara 50 wakil yang dipilih untuk membantu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyampaikan maklumat berkaitan dasar, inisiatif serta peluang pendidikan tinggi kepada masyarakat secara tepat, sahih dan berasaskan fakta.
Melalui peranan sebagai #RakanKPT, mereka akan bertindak sebagai penghubung strategik antara KPT dan masyarakat menerusi pelbagai platform media sosial. Inisiatif tersebut bertujuan memperluaskan penyebaran maklumat rasmi, meningkatkan keterlihatan institusi pendidikan tinggi, mengetengahkan kepakaran warga akademik serta membantu membendung penyebaran maklumat yang tidak tepat.
-Advertisement-
Muhammad Aiman berkata pelantikan itu merupakan satu amanah besar untuk memastikan maklumat berkaitan pendidikan tinggi dapat disampaikan dengan jelas, mudah difahami dan relevan kepada masyarakat. Beliau turut berhasrat mengetengahkan kepakaran UPM khususnya dalam bidang pertanian, veterinar dan keterjaminan makanan, selain menjadi saluran komunikasi dua hala yang menyampaikan maklum balas masyarakat kepada pihak berkaitan secara bertanggungjawab. – The Capital Post