Dua Warga Asing Ditahan Selepas Cuba Bersembunyi Dalam Longkang

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUCHING 23 SEPTEMBER 2026 (The Capital Post) – Cubaan seorang lelaki dan seorang wanita warga asing meloloskan diri dengan bersembunyi di dalam longkang gagal apabila kedua-duanya berjaya dikesan dan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam Ops Selera dan Ops Kutip, baru-baru ini.

Operasi yang dijalankan dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah malam pada 21 September 2026 itu melibatkan pemeriksaan di tujuh lokasi sekitar Westfield Points, Jalan Tun Hussein Onn, Pekan Batu 10 dan Kota Sentosa.

Gambar: Facebook Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak

Pemeriksaan tertumpu kepada premis kedai makan serta kedai-kedai yang disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti perjudian dalam talian. Sepanjang operasi, terdapat beberapa cubaan melarikan diri termasuk tindakan dua warga asing yang memilih longkang sebagai tempat persembunyian.

Bagaimanapun, tindakan pantas anggota operasi berjaya mengesan kedudukan mereka sebelum kedua-duanya ditahan untuk tindakan lanjut.

Secara keseluruhan, seramai 48 individu diperiksa dalam operasi berkenaan dengan 43 orang ditahan untuk siasatan lanjut, selain satu saman saksi dikeluarkan.

-Advertisement-

Gambar: Facebook Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak

Operasi tersebut dilaksanakan hasil maklumat aduan awam serta risikan JIM Kuching bagi mengesan pelanggaran undang-undang imigresen.

Kesemua individu yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) sebelum dibawa untuk tindakan dan siasatan lanjut.

JIM Sarawak akan meneruskan operasi penguatkuasaan berasaskan risikan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen terus diberi keutamaan – The Capital Post