Empat Lelaki Maut Kereta Rempuh Lori Parkir di Jalan Sepanggar

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA KINABALU 28 September 2026 (The Capital Post) – Empat lelaki berusia antara 20 hingga 24 tahun maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh sebuah lori lima tan yang diparkir di bahu jalan berhampiran Taman Jaya Diri, Jalan Sepanggar, awal pagi semalam.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Mohd Hannis Moktar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 2.37 pagi, sebelum anggota dari BBP Kota Kinabalu dan BBP Lintas digerakkan ke lokasi kejadian.

Pasukan penyelamat tiba pada jam 2.59 pagi dan mendapati kereta berkenaan terbabas sendiri sebelum melanggar lori yang berada di bahu jalan. Kejadian itu menyebabkan kesemua mangsa tersepit di dalam kenderaan yang mengalami kerosakan struktur teruk.

Mangsa dikenal pasti sebagai Ryanniel Robin, 23; Nicholas Thomas, 24; Axelord Nigel Alexander, 21; dan Junior Allyson Julius, 20.

-Advertisement-

Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kesemua mangsa dari kenderaan yang remuk. Proses menyelamat selesai pada jam 3.50 pagi, namun pegawai perubatan mengesahkan semua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut. Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.55 pagi selepas kawasan kejadian disahkan selamat.

Siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dijalankan oleh pihak PDRM – The Capital Post