Enam tahun jejak dana masuk syarikat Good Star Limited milik Jho Low

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu, selepas enam tahun pihak berkuasa mengetahui dana AS$700 juta milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sepatutnya dibayar bagi projek usaha sama, sebaliknya dipindahkan kepada entiti yang salah.

-Advertisement-

Pemindahan dana berkenaan yang keseluruhannya berjumlah US$1 bilion didakwa 1MDB bertujuan bagi pemerolehan 40 peratus saham dalam projek usaha sama (JV) dengan PetroSaudi International Ltd (PSI).

Pemindahan itu dibuat dalam dua peringkat di mana pembayaran sebanyak AS$700 juta sebaliknya dimasukkan ke dalam syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, pada 2009 iaitu Good Star Limited dan AS$300 juta dipindahkan kepada syarikat usaha sama (JV).

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, yang memberikan keterangan hari ini mengakui bahawa ia mengambil masa yang lama untuk mengetahui perkara itu pada 2015 berikutan terdapat proses yang panjang bagi menjejak dana berkenaan.

Disoal peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sesi soal balas, Zeti yang juga saksi ke-46 pendakwaan, berkata ia adalah perkara biasa kerana beliau dimaklumkan oleh pihak risikan kewangan bahawa ia akan mengambil masa beberapa tahun untuk menjalankan pengesanan (jejak wang).

“Saya diberitahu ia mengambil masa bertahun-tahun untuk mendedahkan dan mengesan salah laku terbabit.

“Ketika pasukan siasatan BNM menjalankan pemeriksaan sekitar Mac 2015 dan berdasarkan maklumat diperoleh daripada pihak berkuasa kewangan luar negara, mereka mendapati dana dipindahkan ke syarikat Good Star.

“Selanjutnya, inkuiri adalah untuk mengenal pasti pemilik Good Star yang kemudian diketahui dimiliki Jho Low,” katanya.

Good Star dibubarkan pada 2 Mei 2014 manakala PSI yang dimiliki ahli perniagaan Arab, Tarek Obaid dibubarkan pada 8 April 2015.,

Muhammad Shafee kemudian merujuk saksi kepada keterangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang menyatakan BNM mengetahui pada ketika itu dana berkenaan dipindahkan ke akaun Good Star dan syarikat usaha sama.

-Advertisement-

Bagaimanapun Zeti berkata ia adalah tidak benar.

Sementara itu, Zeti disoal sama ada siasatan BNM menemui sebarang petunjuk atau arahan oleh Datuk Seri Najib Razak untuk melakukan pemindahan dana berkenaan, Zeti berkata “Tiada.”

Beliau berkata, tiada arahan secara bertulis dan beliau juga tidak mengetahui sama ada terdapat arahan secara lisan serta tidak tahu apa yang berlaku di belakang tabir.

Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail dalam keterangan tahun lalu, berkata tiada seorang pun di kalangan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB mengetahui wang berjumlah AS$700 juta dipindahkan kepada syarikat Good Star pada 2009.

Ismee yang merujuk kepada empat carta aliran wang 1MDB menunjukkan jejak kewangan dana yang berakhir dalam dua akaun peribadi Najib turut menunjukkan sejumlah AS$700 juta dana 1MDB dipindahkan kepada Good Star.

Zeti memberikan keterangan terhadap Najib, 70, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373