Erdogan, Trump bakal bertemu di Washington pada 13 Nov

Estimate Reading Time: < 1 minute

ANKARA- Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengesahkan pertemuan mereka di Washington DC 13 Nov ini ketika berbual di telefon pada Rabu.

-Advertisement-

Kedua-dua pemimpin turut membincangkan perkembangan serantau dan isu-isu dua hala, lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan Direktorat Komunikasi Presiden Turki.

“Baru sahaja berbual dengan Presiden Erdogan dari Turki. Beliau memaklumkan saya bahawa mereka telah menahan ramai pejuang Daesh yang dilapor melarikan diri semasa konflik — termasuk isteri dan saudara perempuan pengganas/pembunuh al- Baghdadi,” kata Trump menerusi Twitter, merujuk kepada pemimpin Daesh yang terbunuh.

Abu Bakr al-Baghdadi telah meletupkan dirinya sendiri semasa serbuan pada 26 Okt oleh pasukan tentera AS di wilayah Idlib, Syria.

Turki telah mengesahkan pada Rabu bahawa mereka menahan isteri dan saudara perempuan pemimpin Daesh itu.

“Tidak sabar untuk bertemu Presiden Erdogan pada Rabu depan, 13 Nov di Rumah Putih,” kata Trump.

-Advertisement-

Sementara itu, Erdogan menulis di Twitter bahawa perbualan telefon mereka adalah “efisien” dan membincangkan hubungan dua hala dan isu di rantau ini.

“Semasa pertemuan itu, kami membincangkan langkah-langkah yang akan diambil dalam banyak bidang, terutama dalam memerangi keganasan serta sasaran perdagangan antara negara kami,” katanya.

“Saya percaya perbualan telefon yang kami hari ini akan memberikan kesan yang baik terhadap hubungan dua hala dan isu serantau semasa lawatan kami ke AS pada 13 Nov,” kata Erdogan.

Pertemuan itu dijadual selepas satu perjanjian dicapai antara Ankara dan Washington pada 17 Okt untuk menghentikan seketika operasi ketenteraan Turki di utara Syria bagi membolehkan pejuang YPG/PKK berundur dari zon selamat yang dirancang.

Turki telah melancarkan Operasi Peace Spring pada 9 Okt untuk menghapuskan unsur-unsur pejuang YPG/PKK di timur Sungai Euphrates dalam usaha menjaga sempadan Turki, membantu kepulangan selamat pelarian Syria dan memastikan integriti wilayah Syria.- BERNAMA