ESD Teacher Academy perkukuh pendidikan mampan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUANTAN 26 Mei 2026 (The Capital Post) – Kementerian Ekonomi melalui Pusat SDG Negara (PSN) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Program Education Sustainable Development (ESD) Teacher Academy di Hotel Sri Malaysia, Kuantan bagi memperkukuh agenda pembangunan mampan dalam sektor pendidikan negara.

Program yang berlangsung pada 19 hingga 20 Mei itu dilaksanakan di bawah fokus inisiatif Kementerian Peneraju SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang memberi penekanan terhadap penerapan nilai kemampanan dalam sistem pendidikan.

Seramai 107 guru sekolah rendah dan menengah dari daerah Kuantan telah menyertai bengkel berkenaan yang bertujuan memperkasakan pengetahuan dan kemahiran pedagogi berkaitan Education Sustainable Development (ESD), termasuk pendekatan pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah atau problem-based-learning.

-Advertisement-

Pendekatan tersebut dilihat mampu membantu melahirkan generasi pelajar yang lebih kreatif, inovatif dan mempunyai kesedaran tinggi terhadap isu pembangunan mampan, selari dengan hala tuju Pelan Pendidikan Negara 2026–2030.

Majlis penutup program telah disempurnakan oleh YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri Ekonomi. Turut hadir ialah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), wakil UMPSA, wakil Pusat SDG Negara (PSN), wakil Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP), Kementerian Pendidikan Malaysia serta pegawai sektor pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang – The Capital Post