‘Gabungan politik tamak kuasa enggan bubar DUN’

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungan politik yang enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai adalah tamak kuasa.

-Advertisement-

Presiden UMNO itu berkata, mereka enggan menyerahkan kembali hak dan mandat rakyat untuk memilih sebuah kerajaan baharu kerana bimbang tidak dapat kekal sebagai kerajaan.

“Mereka sanggup menyebabkan pembaziran untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara berasingan kerana khuatir akan kehilangan kuasa.

“BN jika tamak kuasa seperti mereka, boleh tidak membenarkan negeri yang ditadbirnya tidak membubarkan DUN, namun bukan itu tujuan politik BN,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Kenyataannya itu menempelak Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang mendakwa UMNO harus dipersalahkan atas kos tambahan untuk mengadakan PRN secara berasingan dengan PRU15.

Loke berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak boleh dipersalahkan kerana telah pun mengumumkan bahawa Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor tidak akan membubarkan DUN.

Ahmad Zahid berkata, rakyat perlu menolak gabungan tamak kuasa terbabit yang jelas tidak peduli masa depan rakyat dan negara kecuali kepentingan politik mereka.

Beliau berkata, naratif sedang dipropagandakan oleh musuh ketika ini adalah BN tamak kuasa apabila meminta PRU-15 diadakan.

-Advertisement-

“‘Dalil’ baharu yang bertujuan mencipta persepsi jahat terhadap BN itu terpesong jauh daripada kebenaran mengenai tujuan sesebuah pilihan raya.

“Pertamanya, sesebuah pilihan raya termasuk PRU-15 bermaksud menyerahkan kembali hak dan mandat kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan baharu.

“Pilihan raya umum, kecil mahupun negeri adalah sebuah proses demokrasi melalui peti undi yang boleh disertai mana-mana parti politik atau individu yang layak,” katanya.

Tambah beliau, PRU-15 bukan ‘upacara’ menyerahkan kuasa pentadbiran negara kepada BN tanpa ada pertandingan, sebaliknya sebuah proses undian rakyat yang menentukan.

“Justeru, di manakah yang dikatakan BN tamak kuasa sedangkan yang berlaku pada PRU15 adalah rakyat diberi mandat dan kuasa sepenuhnya untuk menentukan masa depan negara,” katanya.

Selain PH, negeri di bawah pentadbiran PAS iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu juga dilaporkan tidak akan membubarkan DUN jika PRU15 diadakan tahun ini.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5279