Grab tak turunkan bayaran untuk ‘rider’

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Grab Malaysia menjelaskan bahawa syarikat itu tidak pernah menurunkan kadar pembayaran untuk rakan penghantar atau ‘rider’.

-Advertisement-

Syarikat perkhidmatan e-hailing itu dalam satu kenyataan berkata, kebimbangan yang ditimbulkan oleh rakan penghantarnya ketika ini adalah disebabkan oleh gangguan dalam sistem Grab Malaysia yang dialami oleh salah seorang rakan penghantar apabila dia menyedari terdapat percanggahan dari segi jumlah pembayaran.

Katanya, syarikat telah memperbetulkan perkara itu dan mengatasinya dengan semua rakan penghantar yang terjejas melalui saluran komunikasi rasmi pada 21 Julai lalu.

“Kami memohon maaf atas kesulitan yang mungkin timbul kepada rakan penghantar kami dan ingin menggalakkan rakan penghantar untuk menghubungi syarikat melalui Facebook atau mengunjungi Grab Driver Centre (GDC) sekiranya mereka mempunyai sebarang pertanyaan lanjut.

“Kami ingin meyakinkan semua pengguna dan rakan kongsi peniaga bahawa Grab kekal komited untuk menyokong komuniti rakan kongsi penghantaran kami.

“Selama bertahun-tahun, kami telah memperkenalkan pelbagai usaha untuk menyokong rakan kongsi penghantaran,” katanya.

Grab Malaysia berkata, langkah pemerkasaan rakan penghantar yang dilaksanakan termasuk perlindungan semasa bekerja dengan perlindungan kemalangan peribadi percuma dan kerjasama dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memudahkan caruman serta insentif tambahan sehingga 10 peratus.

-Advertisement-

Katanya, syarikat juga membantu rakan penghantar menjimatkan perbelanjaan operasi seperti diskaun petrol, penyelenggaraan kenderaan dan keperluan harian.

Selain itu, katanya, Grab Malaysia turut memperkenalkan pelbagai promosi dan kempen seperti GrabUnlimited bertujuan bagi membantu rakan kongsinya.

“Pek langganan dengan lebih daripada 50 baucar diskaun berbeza bertujuan bukan sahaja untuk meningkatkan jualan peniaga, tetapi juga menyediakan lebih banyak pekerjaan untuk rakan kongsi penghantaran kami,” katanya.

Grab Malaysia turut menyeru rakan penghantar supaya melaporkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan dan syarikat itu sendiri, jika menghadapi sebarang masalah.

Katanya, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak berkongsi sebarang khabar angin atau dakwaan palsu bagi mengelakkan timbul perkara yang tidak sepatutnya.

-BH