Hasil perbincangan isu 3R dibawa ke Kabinet

Estimate Reading Time: < 1 minute

KEPALA BATAS: Hasil perbincangan bersama beberapa agensi termasuk badan bukan kerajaan (NGO) berhubung perundangan berkaitan isu agama, bangsa dan raja (3R) akan dibentang ke mesyuarat Kabinet minggu ini.

-Advertisement-

Ia bagi membolehkan jemaah menteri menilai sama ada undang-undang sedia ada mencukupi atau perlu ditambah baik, sekali gus mengekang penggunaan isu 3R terutama sebagai senjata politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institut), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pihaknya sudah berbincang dengan beberapa agensi antaranya badan peguam, NGO termasuk Pertubuhan Masyarakat Madani (CSO), baru-baru ini.

“Pertemuan membincangkan hala tuju undang-undang sedia ada sebab ada berpendapat undang-undang yang ada sudah mencukupi, ada kata perlu ada cara macam di negara luar seperti Singapura dan Australia.

“Jadi, dalam mesyuarat Kabinet minggu ini, saya akan bentang kesimpulan perbincangan.

“Bagaimanapun, perbincangan undang-undang berkaitan 3R perlu diperbanyakkan sebab dalam soal perpaduan dalam jangka panjang untuk Malaysia, akan sentiasa wujud politik gunakan agama bangsa dan institusi raja sebagai elemen bullet (peluru) politik,” katanya.

Beliau beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Konvensyen Komunikasi Media Madani: Komunikasi Strategik dan Digital di sini, hari ini.

Azalina diminta mengulas hasil perbincangan kerajaan dan pihak berkaitan mengenai isu perundangan 3R yang diadakan Jumaat lalu.

-Advertisement-

Beliau menyifatkan undang-undang sedia ada mencukupi tetapi kebanyakan membabitkan elemen jenayah, sekali gus memerlukannya dilihat dari sudut perpaduan.

“Ada negara ada undang-undang harmoni, undang-undang negara bangsa, jadi kita kena kaji tetapi ia tertakluk kepada Kabinet.

Menerusi perbincangan, Azalina berkata, banyak pihak menyuarakan cabaran masa kini terutama kes membabitkan media sosial dari segi penguatkuasaan dan sabitan.

“Ketika Akta Hasutan 1948 digubal, tiada media sosial seperti Twitter, Facebook, Instagram dan sistem kecerdasan buatan (AI).

“Media sosial itu mesin dan bagaimana nak buktikan mesin itu dan bawa ke mahkamah? Susah sebab ia boleh dibuat dan padam, maka ini yang perlu diperhalusi,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373