Serpihan logam disyaki komponen roket China ditemukan di Miri

Estimate Reading Time: < 1 minute

MIRI: Serpihan logam yang disyaki sebahagian daripada komponen roket Long March 5B milik China ditemukan di Sepupok, Niah, di sini.

-Advertisement-

Komponen itu dijumpai oleh penduduk di Batu Niah, yang kemudian melaporkan kepada polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu, berkata hasil tinjauan awal pihaknya mendapati terdapat serpihan logam terbenam ke dalam tanah pada kedalaman lebih kurang satu meter di kawasan sekitar rumah salah seorang penduduk.

“Bagaimanapun, pihak polis tidak dapat mengesahkan asal usul logam berkenaan dan sudah meminta bantuan dari pasukan HAZMAT Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kementerian Sains, Telnologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menganalisa tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak berada di kawasan berhampiran kerana dibimbangi logam berkenaan mengandungi bahan radioaktif.

Katanya, kawasan terbabit dipantau dengan rapi untuk memastikan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

-Advertisement-

Pada masa sama, katanya orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan

berita yang tidak benar kerana ia boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

Semalam, MYSA mengesahkan kemasukan semula serpihan roket Long March 5B milik China ke ruang udara Bumi, melintasi ruang udara Malaysia dan dikesan di beberapa kawasan termasuk ruang udara Sarawak sebelum direkodkan jatuh di Laut Sulu.

-BH