‘Jangan kata kamu tak bersedia untuk mengemukakan hujahan’

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan sekali lagi tidak membenarkan permohonan peguam utama Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan prosiding rayuan akhir bagi mengetepikan sabitan dan hukuman bersalah yang dikenakan terhadap bekas perdana menteri itu.

-Advertisement-

Hisyam Teh Poh Teik memohon penangguhan kepada Khamis minggu depan sebelum prosiding rayuan berakhir, bagaimanapun ia ditolak oleh mahkamah.

Selepas Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram hari ini selesai berhujah mengenai penangguhan bagi membantu mahkamah, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat memberitahu pihak-pihak bahawa prosiding bersambung Selasa ini.

Hisyam kemudian berkata beliau tidak akan mengemukakan sebarang hujahan sama ada secara lisan atau bertulis.

Tengku Maimun berkata, Hisyam tidak perlu memfailkan hujahan bertulis, sebaliknya boleh berhujah secara lisan sahaja.

“Kita tunggu Selasa ini,” katanya.

-Advertisement-

Hisyam kemudian memberitahu mahkamah supaya dikecualikan kehadiran kerana ada kes lain, bagaimanapun Tengku Maimun mengulangi bahawa mahkamah tidak akan membenarkan sebarang penangguhan.

Beliau berkata, pembelaan mempunyai masa selama tiga hari untuk bersedia dengan hujahan kesnya.

“Ia adalah kebebasan kamu untuk mengemukakan hujahan atau sebaliknya, kamu ada tiga hari untuk bersedia. Jangan kamu katakan kamu tidak bersedia untuk mengemukakan hujahan mengenai 94 alasan dalam petisyen rayuan kamu,” katanya.

Prosiding bersambung Selasa ini.

-BH