‘Jangan putar belit kenyataan, politik isu flat kos rendah kotor’

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU: “Jangan putar belit kenyataan saya mengenai keadaan flat kos rendah di Johor sebagai isu politik.

-Advertisement-

Itu penegasan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, malah baginda menyifatkan isu berkenaan bukanlah perkara baharu.

“Kerajaan-kerajaan sebelum ini mengetahui mengenai keadaan flat kos rendah di Johor.

“Namun mereka tidak berbuat apa-apa. Sekarang, Kerajaan Perpaduan yang baharu terpaksa menguruskan masalah-masalah sampah ini,” titah baginda di akaun Facebook, hari ini.

Kelmarin, Sultan Ibrahim dilaporkan menzahirkan perasaan kecewa terhadap keadaan bangunan, penyelenggaraan serta tahap kebersihan flat kos rendah di negeri ini.

Sultan Ibrahim dilaporkan bertitah, kebanyakan flat kos rendah di Johor berada dalam keadaan daif serta dipenuhi pelbagai sampah sarap yang dibuang merata-rata hingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa.

-Advertisement-

“Saya melihat ada beberapa flat kos rendah di negeri ini dalam keadaan yang amat menyedihkan dan seolah-olah rakyat saya hidup dalam reban ayam,” titah baginda kelmarin.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim bertitah, baginda terpaksa bersuara dan mengemukakan masalah ini kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, kerana rakyat kini menyalahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri.

Baginda bertitah, SWM Environment Sdn Bhd (SWM) sebagai syarikat yang bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pungutan sampah, langsung tidak memuaskan mutu kerjanya terutama di flat kos rendah.

“Tidak ada elemen politik dalam perkara ini. Jangan jadikan ini sebagai isu politik.

“Kerajaan-kerajaan sebelum ini tidak mengambil peduli akan permasalahan ini, adalah sangat malang Kerajaan Perpaduan kini terpaksa menanggung permasalahan ini,” titah baginda sambil menghargai komitmen Kor Ming yang datang mengadap baginda, kelmarin.

-Berita Harian