Bekalan air di P.Pinang pulih sepenuhnya

Estimate Reading Time: < 1 minute

-Advertisement-

GEORGE TOWN: Bekalan air di Pulau Pinang pulih sepenuhnya hari ini selepas mengalami gangguan berikutan penurunan mendadak paras air Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang yang menjejaskan pengeluaran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, Ahad lepas.
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam kenyataan memaklumkan setakat 11 pagi tadi, bekalan air telah dinormalisasi untuk hampir 100 peratus pengguna yang terjejas sebelum ini.

-Advertisement-

“Hanya sesetengah kawasan masih mengalami isu tiada bekalan air disebabkan oleh isu yang berkaitan dengan paip pecah, angin di dalam paip dan “sistem retikulasi dalaman” yang melibatkan sistem pam air dalaman dalam premis blok pangsapuri.
“PBAPP sedang memantau dengan teliti kestabilan keseluruhan sistem bekalan air Pulau Pinang ke arah fasa pemulihan sepenuhnya,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan pasukan kerja PBAPP sedang bekerja keras untuk menyelesaikan isu di lapangan dan orang ramai yang masih menghadapi masalah bekalan air boleh menghubungi Pusat Panggilan 24 jam PBAPP di talian 04-255 8255.
Sejak Ahad, sebanyak 400,000 pemilik akaun PBAPP melibatkan lebih 2 juta pengguna di negeri ini mengalami gangguan bekalan air sama ada tiada langsung air atau tekanan rendah, namun dalam tempoh 36 jam, lebih 90 peratus pengguna telah menerima bekalan air.
Media turut melaporkan kira-kira 252,000 akaun pengguna di tiga daerah iaitu Kuala Muda, Kulim dan sebahagian kawasan Baling di Kedah terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual disebabkan penurunan mendadak paras sungai yang berpunca daripada kerosakan pintu kawalan air (barrage) Sungai Muda.
Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dalam kenyataan memaklumkan gangguan bekalan air di tiga daerah itu bermula pada 7.25 pagi Ahad dan kejadian luar jangka itu mengakibatkan pengoperasian LRA Sungai Petani/Pinang Tunggal serta LRA Kulim Hi-Tech terpaksa dihenti tugas buat sementara waktu sehingga paras sungai kembali stabil.
-BERNAMA