Johor beralih Fasa Dua PPN minggu ini

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU: Johor akan beralih ke Fasa Dua, Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada minggu ini, selepas dijangka menerima 1.9 juta dos vaksin COVID-19 dalam tempoh terdekat.

-Advertisement-

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata penerimaan jumlah dos vaksin terbabit membolehkan kadar vaksinasi di negeri itu melebihi 50 peratus menjelang hujung bulan ini.

Katanya, pada masa sama, pendekatan secara program outreach akan dipertingkatkan, termasuk menerusi penggunaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak bagi mempercepatkan proses vaksinasi kepada masyarakat.

“Dengan 1.9 juta dos vaksin ini, kita menjangkakan boleh mencapai liputan 100 peratus dos pertama pada hujung bulan ini dan lengkap dua dos pada Oktober.

“Minggu ini, Johor sudah boleh beralih kepada fasa dua, namun cabaran yang perlu dihadapi adalah mereka yang lambat menerima maklumat MySejahtera. Oleh itu, kita gunakan pelbagai kaedah, termasuk `walk in’ PPV,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja dan penyerahan komputer riba di Jabatan Pendidikan Negeri Johor, hari ini.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilapor mengarahkan supaya kadar vaksinasi di enam negeri ditingkatkan melebihi 50 peratus menjelang hujung bulan depan.

-Advertisement-

Dalam pada itu, Hasni menggesa golongan yang enggan atau belum bersedia menerima vaksin supaya melakukan ujian pengesanan COVID-19 lebih kerap.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri akan mengumumkan imbuhan atau ganjaran setimpal kepada atlet Boccia negara, Chew Wei Lun, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, minggu depan.

Wei Lun, menghadiahkan pingat perak buat negara menerusi acara individu BC1 di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Terdahulu, beliau berkata, kerajaan negeri bercadang mengagihkan 10,000 komputer riba kepada sekolah terpilih di negeri ini, tahun depan, bagi kegunaan pelajar daripada kalangan keluarga kurang berkemampuan.

-BH