JPN keluarkan sijil kelahiran versi baharu tahun depan

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA, 17 Oct 2022 (The Capital Post): Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengeluarkan sijil kelahiran versi baharu yang mengandungi beberapa ciri keselamatan terkini, mulai tahun depan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

-Advertisement-

Beliau berkata, ciri keselamatan berkenaan termasuk ‘watermark’ atau tera air pada sijil kelahiran versi baharu untuk mengelak berlakunya kes pemalsuan dokumen.

“Apabila dokumen itu dibawa kepada JPN nanti, kita akan tahu sama ada ia sahih atau tidak. Anak yang dilahirkan pada tahun depan akan mendapat sijil kelahiran versi baharu itu,” katanya pada sidang media selepas melancarkan reka bentuk baharu dokumen keselamatan sempena Hari Pendaftaran Negara 2022, di sini, hari ini.

Hamzah bagaimanapun menjelaskan, sijil kelahiran sedia ada masih boleh digunakan dan tidak perlu ditukar.

Sementara itu, JPN dalam kenyataan sempena program berkenaan pula memaklumkan, sebanyak 38 dokumen keselamatan jabatan itu termasuk sijil kelahiran dan daftar perkahwinan, ditingkatkan ciri keselamatan bermula tahun depan bagi menjaga aspek ketulenan.

-Advertisement-

Menurut JPN, antara ciri keselamatan baharu yang diperkenalkan ialah pada reka bentuk dokumen, kertas digunakan dan jenis dakwat untuk cetakan keselamatan.

– BERNAMA -BH

(The Capital Post)