Kadar faedah di AS bukan panduan BNM tetapkan OPR

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Sebarang langkah yang dilakukan oleh bank pusat Amerika Syarikat (AS), Rizab Persekutuan (Fed) tidak semestinya akan diikuti oleh Bank Negara Malaysia (BNM), demikian menurut pandangan ahli ekonomi.

-Advertisement-

Fed hari ini mengambil langkah untuk mengekalkan kadar faedah di AS, namun memberi isyarat menerusi unjuran baharunya bahawa kos pinjaman mungkin masih perlu dinaikkan sebanyak separuh mata peratusan menjelang akhir tahun ini.

Ini adalah tindakan terbaharu bank pusat itu susulan ekonomi AS yang lebih kukuh daripada jangkaan dan kadar inflasi yang semakin perlahan.

Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata beliau tidak merasakan bahawa BNM benar-benar akan mengikuti langkah yang sama dibuat oleh Fed.

Katanya, dasar monetari harus ditetapkan berdasarkan keperluan domestik manakala keadaan ekonomi sektor luar akan memberi kesan melalui perdagangan dan pelaburan.

“Bagaimanapun, kami tidak menolak hakikat bahawa Fed memainkan peranan sebagai penentu arah aliran untuk dasar monetari global terutamanya dalam menentukan hala tuju.

“Ini dicerminkan oleh kenaikan 125 mata asas Kadar Dasar Semalaman (OPR) sejak Mac tahun lalu, manakala Fed dijangka akan menaikkan 25 atau 50 lagi mata,” katanya kepada BH.

Beliau berkata, walaupun Fed dijangka menaikkan antara 25 hingga 50 mata asas lagi, BNM mungkin tidak semestinya mengikuti langkah yang sama.

“Keadaan domestik akan terus menjadi tumpuan utama BNM apabila memutuskan kedudukan OPR,” katanya.

Sementara itu, MIDF Research dalam nota kajian ekonominya hari ini berkata, pengekalan kadar faedah di AS bukan petanda bahawa langkah pengetatan sudah berakhir.

-Advertisement-

“Oleh kerana tinjauan kadar telah disemak lebih tinggi, Pengerusi Fed (Jerome Powell) menekankan bahawa tiada perbincangan mengenai kemungkinan pemotongan kadar tahun ini.

“Pengekalan ini bukanlah penamat kepada dasar pengetatan memandangkan beliau menyebut Fed mahu melihat inflasi AS turun lebih rendah.

“Beliau meramalkan mesyuarat akan datang akan kekal ‘rancak’ dan mengambil kira maklumat yang lebih terkini, sambil mengulangi bahawa Fed mengekalkan pendirian terbuka terhadap perubahan selanjutnya dalam kadar dana Fed (sama ada lebih banyak kenaikan atau pengekalan lain) pada mesyuarat akan datang,” katanya.

Pensyarah Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata beliau melihat BNM akan mengekalkan OPR sehingga akhir tahun ini.

Beliau berpandangan sedemikian kerana kadar inflasi yang semakin mencatatkan penurunan, manakala Fed juga sudah mula mengambil pendekatan tunggu dan lihat suasana ekonomi sebelum bertindak menaikkan kadar faedah.

BNM menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) mempunyai baki tiga lagi mesyuarat pada tahun ini iaitu pada 6 Julai, 7 September dan 2 November dalam menentukan kedudukan OPR bagi tahun ini.

Sebelum ini, pada mesyuarat terdahulu, MPC memutuskan untuk mengekalkan OPR kepada 2.75 peratus pada dua mesyuarat terawal iaitu masing-masing pada 19 Januari dan 9 Mac lalu sebelum membuat keputusan menaikkan 25 mata asas kepada 3.00 peratus pada 3 Mei lalu.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373