Kedai Emas Di Bakar Arang Disamun, Kerugian Cecah RM1 Juta

Estimate Reading Time: < 1 minute

SUNGAI PETANI 17 September 2026 (The Capital Post) – Sebuah kedai emas di dalam sebuah pusat beli-belah di Bakar Arang, di sini, dilaporkan mengalami kerugian dianggarkan antara RM700,000 hingga RM1 juta selepas disamun sekumpulan empat lelaki bertopeng dan bersenjata, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.20 malam sejurus selepas insiden berlaku.

Siasatan awal mendapati dua suspek memasuki premis berkenaan sebelum memecahkan tiga cermin pameran menggunakan tukul dan melarikan pelbagai barangan kemas. Dua lagi suspek dipercayai menunggu di luar bangunan dengan menaiki dua motosikal.

Dua pekerja yang berada di dalam kedai ketika kejadian dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Hanyan, jumlah kerugian yang dianggarkan antara RM700,000 hingga RM1 juta itu masih berdasarkan maklumat awal daripada pemilik premis, manakala pihak polis masih menunggu senarai lengkap barangan yang hilang bagi menentukan nilai kerugian sebenar.

-Advertisement-

Beberapa barangan emas yang tercicir ketika suspek melarikan diri turut diserahkan oleh orang awam kepada pihak berkuasa.

Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan. PDRM turut mengesahkan premis berkenaan pernah menjadi sasaran kejadian samun pada 2024.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ciri-ciri fizikal suspek atau melihat sebarang pergerakan mencurigakan diminta tampil membantu siasatan bagi membantu pihak polis mengesan mereka yang terlibat – The Capital Post