Kementerian Komunikasi, SPRM Perkukuh Pendidikan Antirasuah

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 24 September (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah hari ini menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk TPj Ahmad Nizam Ismail di Menara Komunikasi, Putrajaya.

Pertemuan itu menjadi ruang untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan serta membincangkan potensi kerjasama strategik dalam memperkukuh usaha pendidikan masyarakat, khususnya berkaitan penyampaian mesej integriti dan pencegahan rasuah.

Antara perkara yang turut dibincangkan ialah penglibatan SPRM menerusi medium media sosial Kementerian Komunikasi bagi memperluas capaian mesej berkaitan integriti, kesedaran antirasuah dan usaha pencegahan rasuah kepada masyarakat.

Kerjasama melalui saluran komunikasi digital itu dilihat dapat membantu memperluas penyampaian maklumat serta meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan membudayakan nilai integriti dalam kehidupan seharian.

-Advertisement-

Turut hadir, Setiausaha Bahagian Komunikasi Strategik dan Korporat, Naim Fahmi Ahmad Tajuddin serta Pegawai Hal Ehwal Islam Unit Integriti, Muhammad Khalid Osman.

Pertemuan berkenaan mencerminkan usaha berterusan kedua-dua pihak untuk meneroka pendekatan komunikasi yang lebih berkesan dalam memperkukuh pendidikan masyarakat berkaitan integriti dan pencegahan rasuah. – The Capital Post