Tiga Rumah Terjejas Dalam Kebakaran Di Kapar

Estimate Reading Time: < 1 minute

KAPAR 24 September 2026 (The Capital Post) – Tiga buah rumah kediaman terjejas dalam kebakaran yang berlaku awal pagi tadi di Kampung Tok Muda, Kapar.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.32 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar dengan bantuan BBP Klang Utara digerakkan ke lokasi.

Pasukan bomba tiba kira-kira lapan minit kemudian dan segera menjalankan operasi pemadaman bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kediaman berhampiran.

Kebakaran dipercayai bermula di sebuah rumah struktur kelas C berkeluasan 40×20 kaki persegi yang musnah sepenuhnya. Api kemudiannya merebak ke sebuah rumah kelas A bersebelahan sehingga menyebabkan kira-kira 70 peratus bangunan terjejas, termasuk tiga bilik tidur.

Sebuah lagi rumah turut mengalami kerosakan sekitar lima peratus pada bahagian bumbung akibat kejadian berkenaan.

-Advertisement-

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran salur bantu mula daripada air tangki pam jentera serta sistem dividing breeching dengan dua pancutan air terbuka.

Tindakan pantas anggota bomba berjaya mengawal dan menyekat kemaraan api, manakala Komander Operasi mengesahkan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Punca kebakaran serta jumlah kerugian keseluruhan masih dalam siasatan Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM Selangor – The Capital Post.