Khazanah raih RM664.5 juta hasil penempatan saham CIMB

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd berjaya memuktamadkan penempatan 138.4 juta saham atau kira-kira 1.4 peratus dalam CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) pada harga RM4.80 sesaham, sekali gus meraih kira-kira RM664.5 juta.

-Advertisement-

Harga penempatan mewakili 2.8 peratus diskaun pada harga penutup pasaran RM4.94 yang dicatatkan Rabu lalu.

Khazanah dalam satu kenyataan berkata, urus niaga penempatan saham itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengimbangi semula portfolionya serta mengitar semula pelaburan ke dalam aset baharu di Malaysia dan di peringkat global, termasuk pelaburan baharu bawah Dana Impak.

“Sejajar dengan objektif inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (PERKUKUH) yang digariskan oleh kerajaan, Dana Impak bertujuan untuk memangkin bidang pertumbuhan baharu, membangun daya saing

ekonomi Malaysia serta meningkatkan daya tahan sambil memacu hasil sosio-ekonomi utama negara,” katanya.

-Advertisement-

Lanjutan daripada penempatan itu, Khazanah masih kekal sebagai pemegang saham tunggal terbesar dalam CIMB dengan pegangan 25.6 peratus.

Penempatan itu menyaksikan saham berkenaan diagihakan kepada beberapa dana berkaitan kerajaan, pelabur institusi jangka panjang

domestik dan asing, pemegang saham sedia ada serta beberapa dana lain.

CIMB dan Credit Suisse adalah pengatur bersama urus niaga penempatan saham itu. -BH