KKM Lancar Buku Keutamaan Penyelidikan Kesihatan 2026–2030

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM 18 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melancarkan Buku Bidang Keutamaan Penyelidikan Kesihatan di Bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (13MP-HRP) 2026–2030 sebagai panduan strategik dalam menentukan hala tuju penyelidikan kesihatan negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

Majlis peluncuran disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad di National Institutes of Health (NIH), Shah Alam.

Buku tersebut akan menjadi rujukan utama dalam pelaburan penyelidikan kesihatan serta penjanaan bukti saintifik bagi menyokong pembangunan dasar, penambahbaikan amalan dan peningkatan kualiti sistem penjagaan kesihatan negara.

Menurut KKM, penerbitan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan penyelidikan kesihatan memberi tumpuan kepada isu-isu utama yang memberi kesan kepada rakyat, termasuk cabaran berkaitan penuaan penduduk, peningkatan penyakit tidak berjangkit, ancaman penyakit berjangkit baharu, kesan perubahan iklim terhadap kesihatan, peningkatan kos penjagaan kesihatan serta permintaan masyarakat terhadap perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti.

-Advertisement-

Dalam ucapannya, Dzulkefly menyeru penyelidik, institusi pengajian tinggi, agensi pembiayaan serta rakan strategik industri agar berganding bahu melaksanakan agenda penyelidikan yang telah digariskan melalui kerjasama dalam menghasilkan bukti saintifik yang berkualiti, relevan dan berimpak tinggi.

Beliau berkata, usaha bersepadu semua pihak amat penting bagi memperkukuh sistem kesihatan negara, memajukan bidang penyelidikan serta memastikan dasar kesihatan yang digubal berasaskan bukti demi kesejahteraan rakyat.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), YBhg. Datuk Dr. Nor Fariza Ngah serta Pengurus National Institutes of Health (NIH), YBrs. Dr. Fazliana Mansor. – The Capital Post