TERENGGANU 24 OGOS 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memperkukuh aspek keselamatan kebakaran di hospital menerusi Kursus Penyelaras Keselamatan Kebakaran bagi Ketua Penolong Pegawai Perubatan (PPP) Hospital yang berlangsung di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Marang, Terengganu dari 16 hingga 20 Ogos 2026.
Kursus anjuran Cawangan Perkhidmatan Penolong Pegawai Perubatan (CPPP) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia itu bertujuan meningkatkan keupayaan Ketua PPP dalam mengendalikan aspek keselamatan kebakaran di hospital, selaras dengan pelantikan mereka sebagai “Fire Safety Officer”.
Kandungan latihan dibangunkan khusus berdasarkan skop dan tanggungjawab Ketua PPP serta mengambil kira keperluan Standard 25, Malaysian Society for Quality in Health (MSQH).
Peserta didedahkan kepada gabungan pembelajaran teori dan praktikal bagi memastikan pengetahuan berkaitan keselamatan kebakaran dapat diaplikasikan secara berkesan dalam persekitaran hospital.
-Advertisement-
Antara pengisian kursus termasuk latihan praktikal yang dilaksanakan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu bagi memberikan pengalaman sebenar kepada peserta dalam mengurus aspek keselamatan kebakaran di fasiliti kesihatan.
Kursus tersebut diselaraskan oleh Unit Perkembangan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan, Sektor Pembangunan Profesion, Cawangan Perkhidmatan Penolong Pegawai Perubatan, Bahagian Amalan Perubatan, KKM.
Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen KKM untuk memastikan setiap hospital mempunyai pegawai yang kompeten dalam aspek keselamatan kebakaran, sekali gus menyokong usaha mewujudkan persekitaran rawatan yang lebih selamat untuk pesakit, warga kerja dan pengunjung. – The Capital Post