KP Kesihatan jadi vaksinator di PPVB Seri Menanti

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Walaupun sibuk dengan tugas harian, terutama dalam mengawal penularan COVID-19 di negara ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah sempat ‘mencuri’ sedikit masanya untuk menjadi vaksinator kepada penduduk Seri Menanti, Negeri Sembilan.

-Advertisement-

Menerusi perkongsian gambar di laman Facebooknya, Dr Noor Hisham dilihat menunjukkan picagari sebelum membuat suntikan kepada beberapa individu yang hadir di Pusat Pemberian Vaksin Bergerak (PPVB) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Dalam status sama, Dr Noor Hisham berkata PPVB Seri Menanti itu diwujudkan khas bagi penduduk Seri Menanti, Kuala Pilah di Negeri Sembilan bagi mempercepatkan pemberian vaksin di kawasan berkenaan.

Katanya, program PPVB Seri Menanti di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) itu sudah bermula Isnin lalu hingga Jumaat ini dan menyasarkan 80 peratus penduduk atau 2,500 individu akan diberikan suntikan vaksin bagi dos pertama.

“PPVB sebegini bertujuan menyediakan akses yang lebih luas kepada masyarakat luar bandar untuk mendapatkan vaksin, terutama bagi mereka yang belum mendaftar untuk vaksinasi di bawah PICK atau pun belum menerima tarikh janji temu melalui aplikasi MySejahtera.

“Sehingga 28 Julai (semalam), seramai 1,728 penduduk di sekitar Seri Menanti sudah divaksinasi melalui dua kaedah penyampaian iaitu pusat pemberian vaksin satelit di Seri Menanti Resort bagi individu yang stabil.

“Sementara kaedah kedua ialah menerusi lawatan rumah ke rumah dalam kawasan Seri Menanti bagi pesakit yang terlantar di rumah atau warga emas, orang kurang upaya (OKU) yang tiada kemampuan fizikal atau mental untuk hadir ke PPV,” katanya dalam Facebook, semalam.

-Advertisement-

Dr Noor Hisham berkata program itu turut mendapat kerjasama HCTM Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengajian Tinggi (IPT), Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dan Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, bantuan turut diberikan oleh Pejabat Daerah Kuala Pilah, pihak berkuasa tempatan (PBT), pemimpin masyarakat tempatan, ketua kampung, Polis Diraja Malaysia dan beberapa agensi berkaitan.

“Jutaan terima kasih diucapkan kepada kesemua sukarelawan, petugas dan pemimpin masyarakat tempatan yang memberikan kerjasama baik dalam menjayakan program ini.

“Bagi mengatasi cabaran liputan internet yang terhad di kawasan luar bandar pula, sebuah syarikat telco swasta menyediakan perkhidmatan internet demi kelancaran pengoperasian PPVB ini tanpa caj,” katanya.

-BH