PUTRAJAYA 3 Ogos 2026, (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperkukuh kesiapsiagaan kepimpinan digital menerusi penganjuran Kursus AI Generatif untuk Pengurusan Tertinggi Kementerian yang berlangsung pada 1 hingga 2 Ogos lalu.
Program tersebut menghimpunkan barisan Pengurusan Tertinggi KPWKM sebagai usaha meningkatkan keupayaan dalam memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) generatif bagi memacu transformasi organisasi, memperkukuh kepimpinan strategik serta mempertingkat keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam.
Sepanjang kursus, para peserta didedahkan kepada penggunaan AI generatif secara praktikal bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan tugasan, termasuk dalam penyediaan dokumen, analisis data dan maklumat, pembangunan papan pemuka (dashboard) serta penghasilan kandungan video.
-Advertisement-
Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen KPWKM dalam membudayakan kepimpinan digital yang progresif, inovatif dan berteraskan penggunaan data bagi menyokong penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan responsif kepada keperluan rakyat.
Melalui pemerkasaan teknologi AI generatif, KPWKM bertekad menerajui perubahan dan memperkukuh budaya inovasi ke arah membentuk organisasi yang lebih tangkas, berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran masa depan selaras dengan agenda transformasi digital sektor awam. – The Capital Post