PMK Putrajaya Perkukuh Perpaduan dan Kebajikan Komuniti

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 2 Ogos 2026, (The Capital Post) – Program MADANI Kita (PMK) bersama Komuniti Wilayah Persekutuan Putrajaya berlangsung meriah dengan penyertaan masyarakat setempat, sekali gus menjadi platform memperkukuh hubungan antara kerajaan dan komuniti.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Hannah Yeoh yang turut menyaksikan penyampaian Cek Cura Sumbangan Khas YAB Perdana Menteri kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) serta penyerahan Bakul RAHMAH kepada penerima sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat.

Program berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan kebajikan masyarakat terus diberi perhatian menerusi pelbagai inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti setempat.

Menjelang Bulan Kebangsaan 2026, kemeriahan program turut diserikan dengan pengibaran Jalur Gemilang serta persembahan lagu-lagu patriotik yang menyemarakkan semangat cintakan negara dan memperkukuh nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat.

-Advertisement-

Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik), Kementerian Perpaduan Negara, YBrs. Tuan Mohamad Sobri Mat Daud.

Penganjuran Program MADANI Kita diharap dapat terus menjadi wadah mempererat kerjasama antara kerajaan, pemimpin masyarakat dan rakyat dalam membina komuniti yang lebih sejahtera serta inklusif. – The Capital Post