KUCHING 30 Julai 2026, (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Kimia Malaysia Negeri Sarawak bagi meninjau perkembangan projek pembangunan serta mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai pelaksanaan inisiatif yang sedang dilaksanakan di jabatan berkenaan.
Lawatan turun padang itu turut memberi peluang kepada beliau untuk mengadakan sesi pertemuan bersama pegawai dan kakitangan Jabatan Kimia Malaysia Negeri Sarawak bagi bertukar pandangan mengenai operasi serta keperluan semasa jabatan.
Antara projek yang diberikan perhatian ialah Projek Mengganti Lif Penumpang dan Lif Kargo di Jabatan Kimia Malaysia Negeri Sarawak. Projek berkenaan dijangka meningkatkan kelancaran operasi harian, selain memastikan aspek keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan warga kerja, pelanggan serta pelawat terus terpelihara.
Pelaksanaan projek tersebut juga diyakini mampu memperkukuh keberkesanan penyampaian perkhidmatan Jabatan Kimia Malaysia kepada rakyat melalui penyediaan kemudahan yang lebih moden dan efisien.
-Advertisement-
MOSTI menegaskan komitmennya untuk terus memantau pelaksanaan setiap projek pembangunan bagi memastikan peruntukan kerajaan dimanfaatkan secara optimum serta memberi impak yang signifikan kepada negara, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Kimia Malaysia, Puan ChM Marhayani Md. Saad; Penolong Pengarah Kanan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri Negeri Sarawak, Puan Norazura Drahman; serta warga kerja Jabatan Kimia Malaysia. – The Capital Post