Lagakan MB, timbalan hanya peluru kapur

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) Kelantan mendakwa ada pihak yang cuba ‘menembak peluru kapur’ kepada gabungan itu apabila cuba melaga-lagakan kepimpinan parti berkenaan pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

-Advertisement-

Setiausaha Badan Perhubungan PN Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat, berkata pihak lawan cuba ‘tembak’ peluru kapur apabila ada cubaan melaga-lagakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dengan Timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau yang juga calon PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, berkata sebenarnya tidak timbul isu antara kepimpinan parti terutama Menteri Besar dengan Timbalannya dan kempen pilihan raya berjalan seperti biasa.

“Kita dapat maklumat, pihak musuh cuba melaga-lagakan pimpinan PAS dalam siri kempen. Mereka cuba melaga-lagakan Menteri Besar dan Timbalannya, selain turut membuat tuduhan untuk memburukkan imej PN (di mata pengundi).

“Justeru, kita menasihatkan pengundi supaya mendapat maklumat yang betul dan tidak mudah percaya dengan tuduhan itu. Kita harap pengundi membuat pilihan yang tepat pada PRN ini,” katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS negeri Kelantan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, berkata PN Kelantan tidak terkesan dengan pelbagai isu yang timbul.

-Advertisement-

Katanya, PN yakin akan dapat mempertahankan dan menang di semua 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan susulan melihat sokongan pengundi.

“Kita kemukakan calon dari pelbagai latar belakang termasuk bekas pegawai tinggi kerajaan, mantan Pegawai Tadbir Diplomatik, bekas Pegawai Tadbir Negeri, pengurus pasukan bola sepak dan sebagainya. Ini menunjukkan keseriusan kita untuk bawa Kelantan maju dan sejahtera,” katanya.

Ketika ditanya keyakinan UMNO untuk menang di 16 kerusi DUN di Kelantan, Wan Roslan berkata Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak serius mahu mengambil Kelantan daripada PAS berikutan gabungan itu tidak menamakan calon dari kalangan pemimpin utama mereka.

“Sebaliknya PN menamakan calon dalam kalangan pemimpin utama iaitu Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar, barisan EXCO di samping menampilkan 23 calon baharu daripada 45 calon atau 51.1 peratus,” katanya.


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373