Nasib pengasuh TASKA ditentukan 15 Ogos

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU: Penjatuhan hukuman ke atas pengasuh taman asuhan kanak-kanak (TASKA) yang mengaku salah bertindak cuai yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap dua bayi pada Mac lalu, yang dijadualkan hari ini, ditangguhkan kepada 15 Ogos depan.

-Advertisement-

Penangguhan itu berikutan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim dilaporkan sedang menerima rawatan di hospital. Perkara itu dimaklumkan peguam, Syufri A Samad yang mewakili tertuduh, Nurul Shahira A’shiqin Sulaiman, 28.

Nurul Shahira A’shiqin mengaku salah pada 21 Mei lalu melakukan perbuatan itu terhadap seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dan seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan di Jalan Utama 34, Taman Mutiara Rini, di sini, kira-kira jam 1 tengah hari, Mac lalu.

Berikutan itu, Che Wan Zaidi menetapkan hari ini untuk mahkamah mendengar fakta dan penjatuhan hukuman ke atas tertuduh.

Pengasuh berkenaan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan bon berkelakuan baik dan khidmat masyarakat sebagai hukuman tambahan.

-Advertisement-

“Hakim dimasukkan ke hospital kerana kurang sihat. Jadi kita ambil tarikh seterusnya untuk jatuh hukum,” kata Syufri ketika ditemui di luar mahkamah, hari ini.

Terdahulu, tertuduh tiba di mahkamah ditemani ahli keluarganya kira-kira jam 8.30 pagi.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373