Masyarakat global diajak tolak tuntutan Sulu, mengancam ketenteraman antarabangsa

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengajak komuniti global untuk sama-sama menolak tuntutan tidak berasas oleh kumpulan Sulu yang bukan saja mengancam Malaysia, malah prinsip yang menyokong ketenteraman antarabangsa.

-Advertisement-

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menyifatkan sokongan masyarakat antarabangsa terhadap kedudukan Malaysia dalam perkara itu sangat penting.

“Kita berterima kasih atas solidariti yang ditunjukkan kawan dan rakan sekutu kita yang memahami betapa pentingnya untuk menegakkan kedaulatan dan integriti wilayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023: Kedaulatan dan Kekebalan Negara Dalam Timbang Tara Komersial bagi edisi Sabah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang berada di Tokyo, Jepun turut menyampaikan ucapan pembukaan melalui aplikasi Zoom.

Hajiji berkata, keputusan Mahkamah Rayuan di Perancis dan Mahkamah Rayuan The Hague, Belanda baru-baru ini menjadi bukti komitmen kerajaan yang tidak berbelah bahagi dalam melindungi hak, integriti dan kedaulatan Sabah.

Katanya, ia mengesahkan bahawa tuntutan yang dibuat oleh mereka yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu adalah tanpa asas yang sah.

“Kita sentiasa kekal dengan pendirian bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia dan keputusan mahkamah baru-baru ini mengukuhkan lagi kedudukan kita,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Sabah dengan tegas menolak apa yang dikatakan ‘final award’ yang dikeluarkan Dr Gonzalo Stampa pada 28 Februari 2022 dan tidak mengiktiraf legitimasinya.

-Advertisement-

“Kita menganggapnya sebagai tidak berasas, tiada sebarang asas undang-undang atau sejarah. Kita melihatnya sebagai satu cubaan untuk merendahkan kedaulatan dan integriti wilayah Malaysia, khususnya Sabah.

“Final award ini membawa pertarungan undang-undang antarabangsa di antara kerajaan Malaysia dan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu ke barisan hadapan.

“Ia mencetuskan perdebatan dan perbincangan yang meluas serta memerlukan perhatian dan maklum balas kita,” katanya.

Hajiji berkata, beliau yakin terhadap Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azalina selaku menteri bertanggungjawab dalam hal undang-undang serta pasukan perundangan diketuai Peguam Negara yang bekerja tanpa jemu menentang naratif salah yang disebarkan pihak menyokong tuntutan Sulu.

“Kerajaan Sabah akan terus bekerja rapat dengan Kerajaan Persekutuan untuk menangani kes ini,” katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai usaha kolektif Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) bersama pakar sejarah dalam membantu kerajaan negeri melayari landskap perundangan yang kompleks.

Sementara itu, Hajiji turut menyatakan penghargaan terhadap sokongan rakyat Sabah dalam kes itu dan pengakuan bahawa negeri ini akan sentiasa menjadi sebahagian daripada Malaysia.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373