Media perdana boleh bantu MOT didik masyarakat mengenai keselamatan jalan raya – Loke

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) menyifatkan pembabitan saluran media arus perdana, khususnya Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat sesuatu yang amat diperlukan.

-Advertisement-

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata media arus perdana adalah di antara platform utama yang boleh memainkan peranan dalam mendidik masyarakat berkaitan sesuatu isu umpamanya membabitkan pengangkutan awam.

Katanya, menerusi kerjasama dijalankan, secara tidak langsung persepsi buruk terhadap pengangkutan awam boleh berubah dan orang awam dapat menikmati perkhidmatan itu dengan lebih baik dari masa ke semasa.

Banyak perkara lain yang ingin ditekankan oleh MOT menerusi kerjasama dengan media, antaranya sebarkan maklumat dan kesedaran keselamatan di atas jalan raya.

“Justeru kerjasama erat antara MOT dan MPB amat diperlukan supaya lebih banyak mesej dapat disampaikan,” katanya ketika melakukan kunjungan rasmi ke Sri Pentas, Bandar Utama, di sini, hari ini.

Kunjungan Loke bersama Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan disambut oleh Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Rafiq Razali.

-Advertisement-

Turut hadir ialah Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Mengulas kunjungan itu, Loke menyifatkan ia sebagai lawatan yang menarik dan membuka mata untuk memahami lebih dekat bagaimana media beroperasi secara harian.

“Saya banyak berkongsi mengenai pandangan dan maklumat mengenai hala tuju dan trend media di negara ini.

“Saya berharap dalam lawatan ini akan membuka peluang dan kerjasama lebih erat pada masa akan datang,” katanya yang meluangkan kira-kira sejam dalam pertemuan itu.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373