Mayat dalam but kereta di tepi jalan

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM: Mayat lelaki warga Indonesia ditemukan dalam keadaan berbungkus plastik dan terikat dalam but kereta di tepi jalan berhampiran Taman Sri Orkid, Seksyen 30, di sini semalam.

-Advertisement-

Timbalan Ketua Polis Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol, berkata pihaknya menerima laporan dari orang awam mengenai bau busuk daripada sebuah kenderaan di lokasi berkenaan.

“Kejadian disedari oleh orang awam jam 3.25 petang semalam selepas menghidu bau busuk daripada kereta Honda City warna hitam yang sudah berada di situ sejak dua hingga tiga hari lalu.

“Siasatan awal, polis mendapati mangsa seorang lelaki warganegara Indonesia berumur 47 tahun.

“Semakan ke atas kenderaan juga didaftarkan atas nama mangsa. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu beliau berkata, polis menahan empat suspek termasuk seorang wanita pada jam 7 malam tadi berhampiran lokasi kejadian.

“Kesemua suspek warganegara Indonesia lingkungan umur 40-an ditahan reman bermula hari ini hingga 10 Julai bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati, polis mengesyaki ada motif cemburu tapi masih dalam siasatan pihak polis.

-Advertisement-

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Sebarang maklumat lanjut boleh disalurkan kepada Asisten Superintendan Mohammad Khairi (Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah) di talian 012-2666025,” katanya.

Beliau turut mengulas dakwaan maklumat yang tular di media sosial bahawa mayat mangsa ditemui oleh adiknya sendiri.

“Setakat ini, pihak polis terima maklumat daripada orang awam yg menghubungi bilik gerakan berkenaan jumpa mangsa,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial tangkap layar gambar satu mayat berbalut plastik hitam di bahagian but kereta hitam yang terbuka di tepi jalan.

Terdapat komen pada tangkap layar itu juga mendakwa, mayat mangsa ditemui oleh adiknya sendiri.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373