Rumah baharu S P Setia dilengkapi sembilan ciri pintar

Estimate Reading Time: 2 minutes

KAJANG: S P Setia Bhd melancarkan Setia i-Home, inisiatif hijau baharu untuk pembangunan hartanah baharunya.

-Advertisement-

Menerusi inisiatif itu, semua projek hartanah bertanah baharu S P Setia akan dilengkapi sehingga sembilan ciri antaranya suis hijau, kunci pintar di pintu masuk utama, Box 366, sistem penuaian air hujan, sistem rumah pintar, panel solar dan port pengecasan kenderaan elektrik (EV).

Naib Presiden Eksekutif S P Setia, Datuk Tan Hon Lim, berkata pengenalan inisiatif itu adalah bagi memenuhi keperluan pelanggan dan pada masa sama menyahut seruan ke arah kemampanan.

Katanya, Setia i-Home adalah sebahagian daripada komitmen S P Setia untuk mempercepatkan usahanya dalam amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan mencapai Sifar Bersih menjelang 2050.

“Semua ciri baharu ini akan disediakan di semua projek hartanah bertanah baharu kami bergantung kepada harganya. Ia terbahagi kepada tiga peringkat yang mana untuk peringkat pertama membabitkan hartanah berharga RM750,000 dan ke bawah; peringkat kedua (RM750,001 hingga RM1.5 juta) dan peringkat ketiga bagi hartanah berharga RM1.5 juta ke atas.

“Bagi peringkat ketiga, pembeli akan mendapat semua ciri ditawarkan, manakala untuk peringkat pertama dan kedua akan mendapat sebahagian ciri sahaja.

“Dari segi kos, pengenalan Setia i-Home dijangka membabitkan penambahan antara RM5,000 hingga RM25,000 kepada projek baharu kami, jumlah yang kecil dan tidak membebankan pelanggan,” katanya pada majlis pelancaran Setia i-Home di sini, hari ini.

Hon Lim berkata, sistem rumah pintar yang disediakan menerusi inisiatif itu menyediakan kawalan kepada pelbagai suis dan palam kuasa melalui aplikasi mudah alih, sekali gus membolehkan pemilik rumah mengoptimumkan penggunaan tenaga.

-Advertisement-

Di samping itu, katanya kediaman juga akan dilengkapi dengan suis solar tersedia yang akan membolehkan pemasangan panel solar untuk mengurangkan penggunaan tenaga daripada grid dan jejak karbon penduduk selain menjimatkan bil elektrik.

“Suis hijau pula membolehkan penduduk untuk mematikan semua kuasa peralatan dengan satu sentuhan apabila keluar dari rumah, seterusnya mengurangkan penggunaan tenaga.

“Selain itu, ia juga dilengkapi dengan port pengecasan EV dengan penduduk mempunyai pilihan untuk memasang penyambung pengecasan EV untuk menyediakan bekalan kuasa kepada kenderaan mereka..

“Setia i-Home akan turut menyertakan sistem penuaian air hujan untuk mengumpul air hujan bagi kegunaan dalaman penduduk. Malahan hartanah ini juga menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) untuk mengurangkan sisa pembinaan, dengan tujuan mencapai skor IBS 50 peratus,” katanya.

Beliau menambah, S P Setia juga tidak menolak kemungkinan bahawa pengenalan Setia i-Home mampu membantu melonjakkan jualan hartanah syarikat pada masa akan datang.

“Ini kerana ada ciri-ciri yang ditawarkan adalah hasil daripada tinjauan kami terhadap kehendak pelanggan antaranya Box 366 yang memudahkan urusan penghantaran makanan dan bungkusan di rumah penduduk,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373