McDonald’s Malaysia bayar zakat perniagaan 2023 RM2 juta

Estimate Reading Time: 2 minutes

ZAKAT merupakan rukun Islam ketiga yang diwajibkan kepada setiap orang yang beragama Islam.

-Advertisement-

Dalam dunia perniagaan, pembayaran zakat adalah wajib selagi masih wujud harta atau keuntungan yang dihasilkan daripada aktiviti perniagaan sama ada yang melibatkan barangan atau perkhidmatan.

Justeru, McDonald’s Malaysia terus komited membayar zakat perniagaan berjumlah hampir RM12 juta kepada 14 negeri di seluruh Malaysia sejak syarikat itu mula membayar zakat tujuh tahun yang lalu.

Bukan itu sahaja, McDonald’s Malaysia turut bertekad untuk komited menjadi syarikat yang prihatin terhadap komuniti dengan meningkatkan program-program kemasyarakatan setiap tahun.

Salah satu usahanya pada tahun ini ialah melaksanakan pembayaran zakat sebanyak RM2 juta kepada agensi-agensi mengurus zakat yang diiktiraf oleh Majlis Agama Islam di setiap negeri.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata sebagai sebuah syarikat yang dimiliki orang Islam, McDonald’s Malaysia menyedari kepentingan menunaikan kewajipan zakat untuk membantu masyarakat yang memerlukan.

“Usaha ini bukan sahaja penting atas dasar tuntutan agama, tetapi hikmahnya adalah untuk kita berkongsi sedikit rezeki untuk meringankan beban mereka yang dalam kesusahan. Ini adalah nilai utama yang diterapkan oleh McDonald’s Malaysia,” katanya.

Terus konsisten memberi sumbangan kepada memerlukan

McDonald’s Malaysia menyumbangkan zakat korporat bagi tahun 2023 berjumlah RM100,000 kepada Pusat Kutipan Zakat Pahang dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). – FOTO Mcdonald’s

Pada tahun 2017, McDonald’s Malaysia menjadi entiti yang diusahakan oleh 100 peratus milik orang Islam apabila ia diambil alih oleh Lionhorn Pte. Ltd., sebuah anak syarikat Kumpulan Reza yang beroperasi di Arab Saudi.

-Advertisement-

Sejak itu, setiap tahun McDonald’s Malaysia akan membayar zakat kepada agensi-agensi mengurus zakat yang diiktiraf oleh Majlis Agama Islam Negeri di Malaysia.

Sementara itu, pada tahun 2019, McDonald’s Malaysia menjadi entiti perniagaan pertama yang menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada PPZ-MAIWP.

Manakala pada tahun 2020, syarikat turut menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada Lembaga Zakat Selangor.

Pengiktirafan ini menggambarkan sumbangan McDonald’s Malaysia terhadap masyarakat selain turut menyempurnakan Pensijilan Halal yang dimiliki oleh syarikat itu.

McDonald’s Malaysia membuat pembayaran zakat perniagaan sebanyak RM100,000 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk diagihkan kepada golongan asnaf di Sabah. -FOTO Mcdonald’s

McDonald’s Malaysia membuat pembayaran zakat perniagaan sebanyak RM100,000 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk diagihkan kepada golongan asnaf di Sabah. – FOTO McDonald’s Malaysia

Pembayaran zakat tahun ini pula memberikan impak kepada golongan asnaf yang berada di bawah pusat-pusat agihan zakat di 14 negeri yang menerima zakat daripada McDonald’s Malaysia.

Usaha ini bukan sahaja dilaksanakan kerana kewajipan sebagai perniagaan yang dikendalikan oleh orang yang beragama Islam, tetapi juga didukung atas teras syarikat untuk membantu golongan yang memerlukan.

Sejak dari restoran pertama McDonald’s Malaysia dibuka pada tahun 1982 sehingga hari ini, McDonald’s Malaysia sentiasa mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan komuniti di sekitar lokasi pengoperasiannya.

Ini membuktikan perniagaan McDonald’s Malaysia bukan sahaja untuk meraih keuntungan semata-mata, tetapi juga untuk menyantuni komuniti dan masyarakat di sekitar 350 restoran di seluruh negara.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373