Meta lancar aplikasi Threads saingi Twitter

Estimate Reading Time: < 1 minute

WASHINGTON: Aplikasi baharu, Threads, yang dibangunkan Meta, pemilik Facebook, sudah dibuka untuk pra pesanan di stor aplikasi mudah alih sistem operasi iPhone dan Android, mulai semalam.

-Advertisement-

Disenaraikan sebagai ‘Threads, sebuah aplikasi Instagram’, program baharu itu yang sepatutnya digunakan dalam beberapa hari lagi, dinyatakan di stor aplikasi Apple sebagai ‘aplikasi berasaskan teks di Instagram’.

Threads diperkenalkan susulan ketidaktentuan di Twitter sejak pemilik Tesla, Elon Musk mengambil alih pada Oktober lalu, dengan bilionair itu bertindak menstruktur semula syarikat berkenaan

Selain itu, ia turut memecat ribuan pekerjanya dan memasukkan banyak ciri langganan pengesahan berbayar.

Meta yang juga pemilik Instagram, pada pertengahan Mac lalu, mengumumkan ia sedang mengusahakan rangkaian media sosial baharu yang berpotensi menjadi pesaing kepada Twitter.

Threads membolehkan pengguna ‘berhubung terus dengan pencipta kegemaran mereka dan orang lain yang menyukai perkara sama, atau membina pengikut setia sendiri untuk berkongsi idea, pendapat dan kreativiti dengan dunia’.

“Kami sedang memikirkan mengenai satu rangkaian sosial bebas yang berbentuk desentralisasi untuk berkongsi mesej bertulis dalam waktu sebenar,” kata Meta dalam satu kenyataan kepada AFP.

-Advertisement-

Minggu lalu, Twitter mencetuskan kemarahan ramai apabila Musk mengumumkan platform itu akan mengehadkan bilangan ciapan yang boleh dibaca setiap hari, mengambil kira pengguna aplikasi itu tidak membayar perkhidmatan langganan.

Tujuannya adalah untuk mengehadkan penggunaan data rangkaian sosial oleh pihak ketiga, khususnya syarikat berasaskan model kecerdasan buatan.

Setakat ini, majoriti pengguna Twitter dihadkan 1,000 kali ciapan sehari.

– AFP

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373