Sapura setuju kemuka dokumen gaji, elaun bekas CEO kepada Rafizi

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Sapura Energy Bhd bersetuju mengemukakan kepada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, dokumen berhubung gaji dan elaun yang dibayar kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Shahril Shamsuddin.

-Advertisement-

Ia adalah berkaitan saman yang difailkan Shahril terhadap Rafizi pada Mei tahun lalu, berikutan kenyataan Ahli Parlimen Pandan itu dalam tiga artikel yang disiarkan di akaun media sosialnya di antara 31 Mac hingga 4 April tahun lalu.

Peguam, Navpreet Singh, ketika dihubungi media hari ini, berkata peguam kedua-dua belah pihak merekodkan perintah persetujuan berhubung perkara itu mengikut terma yang dipersetujui, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad.

Peguam itu berkata, tarikh berhubung kes saman utama di Mahkamah Sesyen pula ditetapkan bagi pengurusan kes pada 19 Ogos ini.

Pada 14 April lalu, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan Rafizi untuk mendapatkan dokumen itu, bagaimanapun Sapura merayu terhadap keputusan berkenaan di Mahkamah Tinggi.

Rafizi memfailkan permohonan untuk mendapatkan dokumen terbabit pada 24 November tahun lalu, dan meminda pembelaannya yang difailkan pada Julai tahun sama.

-Advertisement-

Dalam permohonan itu, Rafizi memohon kebenaran mahkamah bagi Sapura Energy mendedahkan pakej imbuhan dan elaun Shahril.

Shahril memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi pada Mei tahun lalu, berikutan kenyataan Rafizi dalam tiga artikel yang disiarkan di akaun media sosialnya di antara 31 Mac hingga 4 April tahun lalu.

Artikel berkenaan sebagai reaksi terhadap kewajaran menggunakan dana awam untuk menyelamatkan syarikat itu seperti yang dicadangkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mahu kerajaan menyuntik lebih banyak dana ke dalam Sapura Energy.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373