Misbun maafkan Norza

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Datuk Misbun Sidek menerima permohonan maaf dibuat Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohammad Norza Zakaria berhubung kemelut yang melanda susulan penamatan kontraknya oleh badan induk itu selaku pengarah pembangunan remaja negara, minggu lalu.

-Advertisement-

Pengurus peribadi Misbun, Nor Kamal Ahmad, berkata jurulatih berusia 63 tahun itu mengakui lega selepas mendengar permohonan maaf secara terbuka dibuat Norza dalam satu sidang media, semalam sambil mengakui beliau sememangnya mempunyai hubungan istimewa dengan individu nombor satu BAM itu.

“Apabila Tan Sri Norza sendiri yang membuat permohonan maaf, Misbun mengakui beliau berasa lega. Misbun menerima permohonan maaf itu dan anggap perkara ini selesai, beliau tidak mahu memanjangkan isu ini lagi,” kata Kamal ketika dihubungi pemberita selepas usaha mendapatkan reaksi Misbun di kediamannya, hari ini, tidak berhasil.

“Buat masa ini, Misbun belum bersedia untuk bertemu dengan pihak media dan beliau meminta saya untuk membuat kenyataan kepada media berhubung perkara ini. Apa yang saya sampaikan, inilah yang diluahkan sendiri oleh Misbun.”

Misbun dalam satu sidang media Isnin lalu meluahkan rasa terkilan dengan tindakan Norza yang didakwa seolah-olah lepas tangan berhubung isu yang timbul itu selepas jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam memutuskan untuk menamatkan kontraknya lebih awal.

Bagaimanapun, Norza yang mengakui mempunyai hubungan istimewa dengan Misbun menerusi sidang media, semalam, membuat permohonan maaf kepada legenda negara itu sambil menjelaskan wujud masalah komunikasi antara kedua-dua pihak yang menjurus kepada kemelut yang melanda ketika ini.

-Advertisement-

Selain itu, Norza turut menawarkan Misbun untuk kembali menggalas tanggungjawab selaku pengarah pembangunan remaja sehingga kontrak asalnya tamat hujung tahun ini dan jika beliau tidak berminat, pihaknya sedia bertemu dengan jurulatih berkenaan bagi menyelesaikan kemelut yang melanda agar tiada pihak yang berasa teraniaya.

Mengulas mengenai tawaran yang dikemukakan BAM kepada Misbun, Kamal berkata jurulatih berkenaan mahu menunggu surat rasmi daripada badan induk itu terlebih dahulu sebelum memberi sebarang komen lanjut.

“Setakat ini, belum ada sebarang surat tawaran rasmi daripada BAM. Apabila sudah ada surat tawaran rasmi nanti, barulah Misbun akan mempertimbangkan dan buat keputusan.

“Beliau mahu lihat dulu apa isi kandungan dan perincian mengenai tawaran yang diberikan BAM itu,” kata Kamal.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373