MKI, JAKIM buat kajian syarak isu pembayaran cukai tertunggak individu meninggal dunia

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah mengambil inisiatif menjalankan kajian syarak berhubung isu pembayaran cukai tertunggak individu yang meninggal dunia.

-Advertisement-

Susulan itu, MKI akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi mencari kesepakatan penyelesaian mengenai pembayaran cukai tertunggak itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata langkah itu perlu susulan perbezaan pandangan antara dua mufti iaitu Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berhubung perkara itu.

Wan Salim dilaporkan berpandangan waris harus membayar tunggakan cukai, manakala Abdul Rahman pula berpendapat pewaris harta pusaka pembayar cukai pendapatan yang sudah meninggal dunia tidak perlu membayar cukai tertunggak ditinggalkan.

“Saya harap daripada muzakarah ini, dapat capai kata sepakat untuk mengelak kekeliruan umat Islam di negara ini mengenai pembayaran cukai tertunggak individu yang meninggal dunia.

“Mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi MKI, Datuk Dr Nooh Gadut,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka MADANI Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri 2023 di sini hari ini.

-Advertisement-

Pada 11 Mei lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr Mohd Nizom Sairi dilaporkan berkata, waris bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang komitmen si mati termasuk pengurusan cukai pendapatan.

Seksyen 74 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) menetapkan sebarang tunggakan cukai pendapatan tidak boleh dihapuskan secara automatik walaupun individu terbabit disahkan meninggal dunia.

Mohd Na’im berkata, MKI memainkan peranan menyelaraskan semua isu berkaitan agama Islam supaya tidak timbul sebarang percanggahan pendapat.

“Kita akan cari jalan untuk selesaikan sebarang percanggahan berkaitan agama Islam,” katanya.

– BERNAMA