Muhyiddin akan umum sokongan Perdana Menteri baharu

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Semua ahli BERSATU perlu bertenang dan menunggu pengumuman Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung sokongan kepada calon Perdana Menteri baharu.

-Advertisement-

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Dr Muhammad Faiz Na’aman, berkata beliau mendapat maklumat daripada Ketua Penerangan parti, Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa Muhyiddin akan membuat pengumuman itu hari ini, namun waktunya tidak dinyatakan.

Beliau mengakui terdapat banyak spekulasi berhubung sokongan BERSATU, malah ada ahli akar umbi kurang bersetuju jika parti menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri baharu.

“Kami diminta tidak membuat ulasan, perlu tunggu pengumuman Muhyiddin. Waktunya saya tidak pasti, cuma katanya hari ini.

“Seruan boleh dibuat supaya menyokong Ismail Sabri tetapi itu atas kapasiti peribadi, bukan keputusan parti. Keputusan parti ialah menyerahkan kepada Presiden membuat keputusan,” katanya kepada BH, hari ini.

Wan Saiful dalam laporan media semalam menyatakan Muhyiddin akan membuat satu pengumuman ‘berita gembira’ hari ini, namun tidak membuat penjelasan lanjut.

Ditanya jawatan Timbalan Perdana Menteri, Muhammad Faiz berkata, hal itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat BERSATU sebelum ini.

-Advertisement-

“Setiap orang ada kecenderungannya, ada yang cenderung kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin, jika tanya orang lain ada yang sokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Yang terbaik sekarang kita tunggu penjelasan tertinggi parti,” katanya.

Persaingan mengisi jawatan Perdana Menteri kini tertumpu kepada tiga calon iaitu Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafiel Apdal.

Istana Negara juga mengarahkan semua ahli Parlimen menyerahkan surat akuan sokongan kepada calon Perdana menteri yang menjadi pilihan mereka sebelum jam 4 petang ini.

-BH