Nam Ron lebih serasi watak antagonis

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama, aktor berpengalaman, Nam Ron teruja diberi peluang kembali menggalas watak antagonis yang menjadi kekuatannya sepanjang bergelar anak seni.

-Advertisement-

Nam Ron atau nama sebenar, Shahili Abdan, 54, berkata, watak Pak Ku dijayakan menerusi filem Walid yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 14 September depan menjadi pengubat rindu terhadap karakter itu.

“Saya suka bawa watak Pak Ku sebab agak lama tidak bawa watak jahat. Sebenarnya, saya suka bawa watak antagonis, tetapi banyak diberikan watak baik sejak kebelakangan ini.

“Jadi, apabila diberi peluang kembali menggalas watak antagonis, ia sangat menarik untuk dijayakan. Seingat saya, memang sudah lama tak bawa watak seperti ini.

“Kalau lihat dalam filem terdahulu seperti Geran, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dan Roh semuanya watak baik. Boleh kata, ini juga menjadi pengubat rindu saya terhadap watak antagonis,” katanya ketika ditemui BH Online pada sesi fotografi pelakon filem Walid di Studio NSTP, Balai Berita, kelmarin.

Mengulas minatnya terhadap watak antagonis, penerima trofi Pelakon Filem Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-29 itu berkata, ia adalah satu tugasan menyeronokkan kerana lebih bebas.

“Bagi saya, watak jahat seronok dibawa sebab lebih bebas dari segi percakapan, pembawakan diri, kelakuan dan sebagainya.

“Selain itu, watak jahat lebih bebas berbanding watak baik kerana tidak terlalu terikat dengan adab, cara bercakap dan banyak lagi. Jadi, boleh dikatakan watak jahat ini lebih seronok.

“Walaupun saya suka bawa watak jahat, tetapi kebanyakan trofi anugerah diterima menerusi watak baik dalam drama atau filem.

-Advertisement-

“Belum pernah lagi saya menang menerusi dengan watak jahat,” kata Nam Ron yang juga aktif dalam bidang pengarahan filem.

Mengulas kejayaan filem Walid yang berjaya menembusi pasaran Amerika Syarikat (AS), aktor kelahiran Kangar, Perlis itu berkata, ia adalah satu perkembangan positif terhadap industri filem tempatan.

“Saya rasa ini satu perkembangan yang baik walaupun ada juga orang yang memandang rendah. Ada komen sinikal mengenai penayangan filem Walid di New York dan Los Angeles.

“Ada yang mempersoalkan sambutan diterima, tetapi saya rasa itu bukanlah isunya. Kalau lihat, kita sendiri yang menerima jemputan menayangkan filem Walid, jadi ia juga satu kejayaan besar,” katanya.

Filem Walid yang arahan Areel Abu Bakar itu sudah ditayangkan di Cine Village, New York, AS pada 28 Julai hingga 3 Ogos lalu termasuk Leammle Glendale, LA bermula 11 Ogos hingga 17 Ogos ini.

Selain Nam Ron, filem terbitan Layar Pictures Sdn Bhd itu juga membariskan beberapa pelakon lain seperti Megat Sharizal selaku tunjang utama, Fad Anuar, Fieyna Tajudin, Puteri Qaseh Izwandy dan ramai lagi.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373