Wan Junaidi kemuka 4 perkara penambahbaikan Parlimen

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia yang baru dilantik, Datuk Muhamad Zamani Mohd Ali bagi membincangkan penambahbaikan institusi berkenaan.

-Advertisement-

Dalam pertemuan itu Wan Junaidi berkata, empat perkara yang dibincangkan adalah pelaksanaan komprehensif Akta Perkhidmatan Parlimen yang sedang dirangka dan mempunyai ciri khusus berhubung dengan kebebasan Parlimen di dalam pengurusan institusi itu termasuk pengurusan kewangan, sumber manusia, pelantikan sumber manusia dan belanjawan.

Beliau berkata, perbincangan itu turut membabitkan pindaan kepada Akta 347 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 bagi menambah baik selaras dengan perkembangan semasa di dalam negara.

“Selain itu turut dikemukakan berkaitan pindaan kepada Peraturan Majlis Dewan Negara dan Majlis Dewan Rakyat.

“Saya turut menekankan kepentingan sokongan dan kerjasama dan kesediaan pengurusan dan keseluruhan warga kerja Parlimen dalam merealisasikan rancangan reformasi pentadbiran di Parlimen Malaysia dalam masa yang terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

-Advertisement-

Sebelum ini, Wan Junaidi dilaporkan berharap pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat meneruskan segala perancangan untuk transformasi dan memodenkan Parlimen supaya ia menjadi institusi yang lebih jelas dan tersendiri.

Beliau berkata, pelbagai usaha sudah dirancang termasuk draf undang-undang yang bolehkan diteruskan oleh Perdana Menteri iaitu berkaitan Akta Pentadbiran Parlimen dan (yang kedua) memperkenalkan undang-undang baharu berhubung hak serta keistimewaan Parlimen bagi menggantikan Akta Kuasa dan Keistimewaan Parlimen 1952 atau membawa pindaan yang sesuai untuk undang-undang terbabit.

“Ketiga pula ialah mewujudkan garis panduan etika…ini pun sudah ada draf yang saya buat pada 2011 dan ia boleh dikemaskini untuk mengisi keperluan semasa,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427