Op Khas Aidilfitri: 382 pegawai, anggota JPJ Selangor bertugas

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Seramai 382 pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor ditugaskan untuk memantau dan menguatkuasakan peraturan jalan raya dalam Op Khas sempena Hari Raya Aidilfitri bermula 1 hingga 20 April ini.

-Advertisement-

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan, berkata operasi berkenaan dilancarkan bertujuan memantau kelancaran pergerakan perjalanan pengguna jalan raya selain memastikan operasi perkhidmatan pengangkutan awam berjalan lancar serta selamat.

Dalam operasi itu juga pihaknya akan memperbanyakkan rondaan dan pemantauan di jalan-jalan utama dan lokasi berisiko berlaku kemalangan.

“Penguatkuasaan yang tegas akan dijalankan bagi sembilan kesalahan utama antaranya melibatkan memandu melebihi had laju, tidak patuh lampu isyarat merah, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memotong barisan dan memandu di lorong kecemasan.

“Dalam op ini anggota kami juga akan membuat pemeriksaan teknikal terhadap bas-bas di depoh bagi memastikan aspek keselamatan diutamakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sekatan jalan raya sempena operasi berkenaan di Plaza Tol PJS 2 Lebuhraya Baru Pantai di sini malam tadi.polis

Mengenai sekatan jalan raya yang berakhir tengah malam tadi, Azrin berkata sebanyak 497 motosikal diperiksa dan 340 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, manakala tujuh notis larangan penggunaan kenderaan serta lapan notis arah pemeriksaan kenderaan dikeluarkan manakala 40 motosikal disita.

-Advertisement-

“Antara kesalahan dikesan ialah tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, lesen kenderaan motor tamat tempoh dan tiada insurans kenderaan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut menjalankan advokasi penggunaan topi keledar dengan pemberian 15 topi keledar kepada penunggang dan pembonceng motosikal menggunakan topi keledar yang telah rosak dan tidak mengikut spesifikasi dalam sekatan jalan raya bermula 9 malam itu.

– BERNAMA

-BeritaHarian